BAGAIKAN tiada titik noktah bagi penduduk Palestin apabila serangan demi serangan dilakukan pihak Zionis sehingga setiap nyawa mereka diragut tanpa mengira golongan.
Dalam insiden terbaharu, seorang remaja Palestin berusia 16 tahun ditembak mati oleh tentera Israel di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki Israel pada Selasa.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan, Ahmad Amjad Shehadeh terbunuh selepas peluru yang dilepaskan oleh tentera Israel itu menembusi jantungnya.
Selain pemuda berkenaan, terdapat empat lagi individu cedera termasuk seorang dalam keadaan kritikal.
“Hasil pencerobohan pendudukan Israel ke atas Nablus sehingga 12.10 tengah malam menyebabkan seorang remaja terbunuh, seorang cedera parah di perut dan tiga lagi cedera,” kata kementerian itu.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa, mereka diserang terlebih dahulu sebelum bertindak balas dengan tembakan langsung.
Baca juga Pengintip MOSSAD kejar rakyat Palestin dipercayai aset Brigade Al-Qassam
Bagaimanapun, kakitangan kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberitahu Anadolu Agency bahawa askar Israel melepaskan tembakan ke arah pekerja kesihatan yang menjaga mangsa cedera.
Berpuluh-puluh yang lain lemas akibat tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera Israel.
Gelombang pertempuran antara Israel dan Palestin di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis telah mengorbankan 200 rakyat Palestin termasuk 51 kanak-kanak tahun ini, menjadikan 2022 paling tinggi sejak 2006.
Anak muda sebagai sasaran
Di lokasi berasingan pula sehari sebelum insiden tersebut, seorang pelajar dilaporkan telah ditembak mati ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Kejadian itu berlaku ketika serbuan Israel di bandar Jenin di Tebing Barat.
Pelajar Sekolah Menengah Palestin yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Mahmoud Saadi, 18. Dia telah ditembak dan cedera semasa terperangkap dalam pertempuran berkenaan.
Wartawan tempatan Mujahed al-Saadi memberitahu Al Jazeera bahawa remaja itu ialah saudara jauhnya.
“Saksi mengesahkan, dia dibunuh ketika berdiri di atas jalan laluan menuju ke bilik darjah,” katanya.