BUAT pertama kalinya, Ramadan diraikan dengan penuh meriah di kota London dengan hiasan lampu di sekitar salah satu jalan paling popular di kota tersebut iaitu Coventry Street yang menghubungkan Piccadilly Circus dan Leicester Square.
Sebelum ini, jalan di sekitar kota London hanya dihiasi dengan lampu perayaan krismas sahaja memandangan majoriti masyarakat di negara itu adalah beragama Kristian.
Namun, ia berbeza bagi Ramadan kali ini terutama buat mereka yang beragama Islam.
Individu yang menjayakan hiasan bagi meraikan bulan Ramadan itu adalah Datuk Bandar London iaitu Sadiq Khan.
Beliau merupakan individu beragama Islam pertama yang dilantik memegang jawatan tersebut sejak tahun 2016 yang lalu.
“Saya berasa gembira kerana kota London menjadi bandar utama Eropah yang pertama melakukan hiasan lampu menakjubkan bagi menyambut bulan Ramadan. ‘Ramadan Lights’ ini adalah simbol menunjukkan bahawa bandar ini meraikan setiap kepelbagaian,” kata Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
Muzium popular di kota London jadi tuan rumah majlis iftar
Dalam kenyataan lain seperti dilaporkan oleh Agensi Anadolu, sebuah muzium popular di kota London telah menjadi tuan rumah untuk majlis iftar Ramadan kali ini.
Program yang diadakan pada Jumaat itu dianjurkan oleh Projek Khemah Ramadan (Ramadan Tent Project) yang disertai lebih 400 orang, Pengasas projek itu Omar Salha berkata tahun 2023 menandakan ulang tahun ke-10 projek itu.
Projek ini telah dimulakan oleh sekumpulan pelajar di SOAS University London untuk berkongsi juadah berbuka puasa bersama-sama dengan penuntut antarabangsa.
Salha berkata badan amal itu akan menganjurkan majlis berbuka puasa di 10 bandar raya sepanjang Ramadan termasuk di Birmingham, Manchester dan Cambridge serta London.
Beliau berkata acara berbuka puasa di Dataran Trafalgar akan menjadi majlis iftar yang terbesar.
Acara yang sama juga akan dianjurkan di teater Globe Shakespeare, stadium kelab bola sepak Chelsea Stamford Bridge dan stadium American Express Community kelab Brighton and Hove Albion, katanya.
Semoga bulan Ramadan pada tahun ini lebih bermakna kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
Berminat untuk sertai kami, follow di TELEGRAM