NAMA Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam wacana keilmuan umat Islam abad ini.
Beliau merupakan antara ilmuan kontemporari yang sangat aktif mengarang kitab. Banyak jasa dan baktinya terutama terhadap bidang keilmuan dan dakwah serta menukilkan pelbagai naskhah daripada neraca perspektif al-Quran, al-Hadis serta bidang ketauhidan.
Semalam, 26 September 2022, ulama yang bijaksana itu telah dijemput oleh ALLAH SWT ke negeri abadi buat selama-lamanya.
Penulisan dan perbahasan beliau dalam bidang fiqh kenegaraan, usul fiqh serta ekonomi Islam kontemporari memecahkan tembok penyelesaian selain memberikan panduan yang penting kepada ummah pada hari ini.
Penceramah bebas, Abdul Mu’izz Muhammad di laman Facebooknya berkongsi mengenai manhaj pemikiran Imam al-Qaradhawi yang masih membekas dan dianggap sebagai pusaka ilmu yang ditinggalkan olehnya.
Menurut Mu’izz, dari perbahasan aqidah, pemikiran, fiqh, akhlak, kemasyarakatan, ekonomi dan politik, hampir semua permasalahan yang membabitkan kepentingan umat pasti ada ulasan ilmiah dari beliau.
Disebabkan itu nama Syeikh al-Qaradhawi menduduki tempat istimewa dalam hidup kita semua selaku pembaca dan penuntut, kerana karyanya sering menjadi rujukan sejak dahulu.
Antara manhaj pemikirannya yang cukup relevan untuk kita semua warisi adalah:
• Taysir, Tabsyir & Realistik.
Mengemukakan praktis Islam yang mudah dan mesra umat, sesuai dengan realiti hari ini yang serba kekurangan jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan Islam dahulu.
Cara pengolahannya menyebabkan Islam kelihatan realistik, tidak bersifat utopia yang hanya terperangkap dalam kapsul masa lampau.
• Jelas & Sederhana.
Perbahasan yang dikemukakan mesti dipasak dengan nas-nas yang jelas, dari sudut maksud, konteks dan keabsahannya. Tulisannya tidak merewang, sebaliknya ringkas dan objektif.
Begitu juga kesederhanaan yang digagaskannya, dalam permasalahan seumpama aqidah, pemikiran, fiqh mahupun akhlak, selalu Syeikh al-Qaradhawi akan nyatakan juga kutub-kutub ekstrim yang pada hematnya tidak tepat dijadikan sebagai pegangan.
• Al-Insof & Bebas Dari Fanatisme.
Terdapat beberapa kitab Syeikh al-Qaradhawi yang menyentuh soal permasalahan-permasalahan dalam bermazhab. Beliau menyedarkan kita bahawa mazhab adalah mazhab, yang seharusnya menjadi kemudahan buat umat, bukan sebaliknya.
Syeikh al-Qaradhawi juga berani mengamal sikap mengkritik secara konstruktif, sekalipun ke atas lingkungannya sendiri. Sebagai seorang Azhari dan Ikhwani, beliau tetap mengkritik jika ada yang dilihatnya tidak selari dengan aspirasi agama. Riwayat hidupnya pun telah membuktikan beliau seorang pemberani.
• Tajdid & Menyeluruh.
Antara masalah umat hari ini adalah jumud, lantas Syeikh al-Qaradhawi menekankan betapa pentingnya menjalankan tajdid dari segenap aspek.
Beliau menekankan tajdid itu bukan buat perkara baharu, tetapi mengembalikan agama tanpa pencemaran persis keadaannya baru disampaikan oleh Nabi.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Islam adalah agama ilmu, bahkan Islam adalah agama yang mensepadukan antara naqal (al-Quran al-Hadis) dan akal.
Selaku pembaca kitab-kitabnya dan pendengar syarahan-syarahannya di internet, kita semua boleh menganggap beliau sebagai al-Imam yang telah menjadi pencerah kepada umat ini dalam banyak hal. Syeikh al-Qaradhawi telah memberikan yang terbaik untuk kita.
Tinggal lagi, kita menjadi penyambung kepada usaha-usaha ilmunya. Kehilangan ulama teragung ini diibaratkan patahnya payung besar memayungi ummah.
Semoga ALLAH SWT merahmati roh Almarhum dan menempatkannya dalam kalangan hamba-NYA yang solehin. Al-Fatihah.