TURKI atau Turkiye? Di saat mata dunia terarah kepada negara Turkiye yang dilanda gempa sejak awal pagi Isnin, antara perkara yang hangat diperkatakan oleh kebanyakan masyarakat adalah mengenai ejaan nama Turkiye.
Masih ramai tertanya-tanya adakah ia sama dengan nama Turki atau dalam ejaan bahasa Inggeris, Turkey yang mereka kenali ini dan mengapakah ia bertukar?
Tahun lalu, jika disoroti sejarah penukaran nama Turki kepada Turkiye, ia secara rasmi diumumkan oleh pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun 2022 setelah Menteri Luarnya pada waktu itu, Mevlut Cavusogla mewakili presidan dan mengemukakan permintan rasmi untuk menukar nama negara sejak tahun 2021 lagi.
Jelas cavusogla, ejaan nama Turkiye yang disebut sebagai ‘Tur-key-yay’ itu mewakili dan menggambarkan budaya, tamadun serta nilai rakyat negara Turkiye. Ia juga mempunyai nama panjang iaitu Turkiye Cumhuriyeti ataupun Republik Turkiye.
Penukaran ejaan nama ini juga rupa-rupanya tidak janggal bagi penduduk negara itu memandangkan mereka selama ini menyebut Turki sebagai Turkiye.
Pertukaran nama itu juga dibuat sebagai usaha untuk mengelakkan salah faham dengan beberapa maksud termasuk istilah slanga yang menjengkelkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
BACA JUGA Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye
Sebahagian badan antarabangsa diminta berbuat perkara sama untuk memastikan pertukaran nama itu sebagai sebahagian daripada kempen penjenamaan semula yang dilancarkan Erdogan pada tahun lalu.
Susulan pengumuman presiden negara itu, media TRT segera membuat perubahan tersebut dan menjelaskan sebab penjenamaan semula imej itu kerana enggan disamakan dengan menu tradisional ‘ayam turki’, yang ada kaitan dengan Hari Natal, Tahun Baharu atau sambutan Thanksgiving.
Negara itu memulakan langkah menukar nama rasminya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bahasa Inggeris kepada Türkiye pada Disember selepas Erdogan mengeluarkan memorandum dan meminta orang ramai menggunakan Türkiye untuk menggambarkan negara itu dalam setiap bahasa.
BACA JUGA Erdogan: Terusan Istanbul Buka ‘Halaman Baharu’ Dalam Pembangunan Turki.
Türkiye menjadi negara keempat menukar namanya secara rasmi dalam tempoh empat tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa negara turut menukar nama seperti Iran (Persia), Thailand (Siam), Zimbabwe (Rhodesia) dan Eswatini (Swaziland).
Pada 2020, Netherlands menggugurkan Holland di bawah langkah sama selain Macedonia menukarkan namanya kepada Macedonia Utara susulan pertikaian politik bersama Greece.