Mutawif ini kongsi tips berpuasa di Tanah Suci sepanjang Ramadan…
MENUNAIKAN ibadah umrah dan juga berpuasa Ramadan di Tanah Suci amat besar ganjaran pahalanya. Malah ada hadis Nabi SAW yang menyatakan “Sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.”
Ramai yang bertanya dan ingin tahu bagaimana suasana dan pengalaman yang bakal dilalui sepanjang berpuasa di Tanah Suci.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Mutawif Rarecation, Shauqi Hasan berkongsi mengenai tips khusus bagi jemaah yang pertama kali ingin menjejakkan kaki di Tanah Suci di dalam bulan Ramadan.
1. Pengalaman puasa selama 15 Jam
Sebelum berangkat antara persediaan diri yang kita kena tahu ialah jadual waktu solat. Subuh di Tanah Suci tahun ini lebih kurang pukul 4.18 pagi.
Manakala waktu Maghrib dan Isyak lebih kurang waktu di Malaysia, dalam pukul 7.00 malam di Madinah dan Mekah. Maknanya kita akan berpuasa lebih kurang 15 jam.

Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang melakukan Umrah dalam bulan Ramadan seolah-olah mereka mengerjakan Haji bersama-sama denganku.” -Foto: Shauqi Hasan
2. Suhu yang dijamin panas
Kebanyakan rakyat Malaysia suka pergi umrah pada hujung tahun sebab cuacanya lebih sejuk dan tentunya lebih selesa. Selalunya yang pergi umrah bulan Ramadan kerana mahu mencari kelainan merasai suasana ibadah umrah ketika berpuasa.
Sepanjang Ramadan, suhu di Tanah Suci dalam lingkungan 40 darjah Celcius. Pengalaman saya paling tinggi pernah capai sehingga 46 darjah Celcius. Lagi panas dari Malaysia.
3. Solat berjemaah di masjid
Waktu berbuka puasa hanya sekitar 10 hingga 15 minit. Tips dari saya, kalau boleh jangan makan makanan yang berbungkus dahulu. Makan selepas solat Maghrib nanti.
Ketika berbuka makan yang ‘ringan-ringan’, terus persiapkan diri untuk solat berjemaah. Jangan bimbang. Lepas solat maghrib semua orang macam ‘berkelah’ di kawasan dataran.

DI Mekah, pihak pengawal akan menghadang pintu lebih awal walaupun kita nampak masih ada ruang solat lagi di dalamnya. -Foto: Shauqi Hasan
Kawasan dataran juga nak dibersihkan. Jadi kena cepat-cepat cari tempat di dalam Masjid. Dalam bulan Ramadan, susah sangat nak dapat solat dalam masjid. Bukan sahaja selepas waktu berbuka, boleh dikatakan setiap waktu.
Kalau 15 minit sebelum azan kita tak bertolak lagi ke masjid, memang jawabnya kita akan solat di luar masjid atau di tepi jalan.
Baca Juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah
Kalau di Madinah, penjaga pintu muslimat akan benarkan masuk selagi ada tempat solat. Hatta di kawasan pejalan kaki ruang solat. Selagi tak penuh sampai ke pintu, selagi itu kita boleh masuk.
Berbeza di Mekah, pihak pengawal akan menghadang pintu lebih awal walaupun kita nampak masih ada ruang solat lagi di dalamnya. Kadang-kadang mereka bukan tutup pintu sahaja, tapi tutup jalan siap pasang dengan penghadang.
Seeloknya pada bulan Ramadan, biasakan diri kita keluar ke masjid 1 jam sebelum azan dan kita sudah berada di dalam masjid menunggu waktu solat.

BERMULA maghrib, orang ramai tidak akan keluar dari masjid lagi sampai waktu Subuh. Lepas waktu Subuh pula, memang ramai yang bergelimpangan tidur di dalam masjid. -Foto: Shauqi Hasan
4. Suasana waktu malam
Di Tanah Suci suasana malamnya sangat meriah dengan ibadah yang mana kebanyakkan orang tidak tidur pada waktu malam di bulan Ramadan. Di sini, selesai solat tarawih 20 rakaat lebih kurang pukul 11 malam.
Imam masjid di Mekah dan Madinah akan mulakan qiam bermula pukul 12 hingga 12.30 malam. Masa rehat di sini sangatlah sekejap. Paling kurang satu jam sahaja.
Baca Juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut
Kebiasaannya bermula maghrib, orang ramai tidak akan keluar dari masjid lagi sampai waktu Subuh. Lepas waktu Subuh pula, memang ramai yang bergelimpangan tidur di dalam masjid.
Jika jemaah memang nak tunggu sampai waktu qiam, kita memang dah kena bersedia dengan kelengkapan dan mula masuk masjid bermula satu jam lepas Asar paling lewat. Kalau tidak, kita dah susah nak dapat tempat solat yang selesa terutamanya di Mekah.
Sumber: Facebook Shauqi Hasan (15 TIPS PENGALAMAN UMRAH RAMADAN YANG KITA KENA TAHU. WAJIB CUBA NOMBOR 5. BACA SAMPAI HABIS)