MASJIDIL Haram mula menggunakan sepenuhnya aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju untuk melancarkan operasi menerima kunjungan jemaah pada Ramadan tahun 1444 Hijrah ini.
Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdulrahman Al Sudais berkata usaha pemodenan terhadap pelan operasi terbesar dalam sejarah Masjidil Haram ini diaktifkan selepas setahun kajian dan perancangan dijalankan.
Melalui operasi ini, para jemaah dapat memanfaatkan robot pintar dan aplikasi elektronik yang membantu memudahkan mereka melaksanakan ibadah, kata beliau lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Selain itu sebanyak 230 ruang solat di Masjidil Haram akan dibuka untuk menerima kunjungan jemaah sepanjang Ramadan tahun ini.
Katanya, semua pintu termasuk di bahagian Masjidil Haram yang telah menjalani proses naik taraf sebanyak tiga kali telah pun dibuka bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk jemaah sepanjang bulan itu.
Pintu khas untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut disediakan pihak masjid bagi memudahkan urusan golongan itu.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Pentadbiran Am Operasi dan Penyelenggaraan Masjidil Haram Fares bin Mafouz Al Saedi berkata, pihaknya telah meningkatkan kecekapan dan tenaga operasi aset Masjidil Haram untuk memastikan penyelenggaraan di masjid itu pada tahap optima, bagi mewujudkan suasana yang selesa dan selamat bagi jemaah untuk mengunjungi Masjidil Haram.
Robot canggih sekitar Masjidil Haram
Selain aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju yang baru dilancarkan itu, terdapat pelbagai lagi robot-robot canggih yang digunakan di sekitar Masjidil Haram selaras dengan arus kemodenan masa kini.
Antaranya ialah Robot di Masjidil Haram yang boleh menjawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa termasuklah bahasa Malaysia, Arab, Inggeris, Perancis, Rusia, Parsi, Turki, Urdu, Cina, Benggali dan Hausa.
Portal berita Arab News melaporkan, sememangnya itulah fungsi utama teknologi berkenaan yang bertujuan memberi khidmat nasihat kepada para jemaah di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Teknologi digital tersebut dilengkapi dengan kamera resolusi tinggi sekali gus memberi gambaran yang jelas ketika menghantar imej, fon kepala resolusi tinggi dan mikrofon berkualiti.
“Ia juga mampu membimbing jemaah tentang pelaksanaan ibadah umrah dan menjawab soalan, robot ini turut memberi peluang kepada orang ramai untuk berkomunikasi dengan para ulama dari jauh,” tulis portal berkenaan.
Selain robot yang boleh menjawab 11 bahasa itu, terdapat satu lagi robot yang sentiasa mendapat perhatian orang ramai tatkala menunaikan ibadah di Masjidil Haram.
Robot tersebut dilancarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. Tugas robot itu hanya mengedarkan air Zamzam di Masjidil Haram.
BACA JUGA Tiada Lagi Sentuhan Manusia, Robot Pintar Ambil Alih Tugas Edarkan Air Zamzam di Masjidil Haram
Timbalan Ketua Jabatan Pengairan Zamzam bagi hal ehwal lapangan dan perkhidmatan, Badr Al-Luqmani menyatakan robot pintar itu berkeupayaan mengedarkan sebanyak 30 botol air pada satu pusingan yang berlangsung sekitar 10 minit.
“Ia akan beroperasi selama lapan jam pada satu masa dan mengambil masa 20 saat untuk memuatkan botol berkenaan. Paling penting, robot ini tidak akan berlanggar atau menghalang orang lain,” katanya.