PADA malam yang lebih mulia daripada seribu bulan, al-Quran telah diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai petunjuk kepada umat akhir zaman.
Ketika zaman baginda, al-Quran dipelajari menerusi kaedah hafazan secara bertalaqi dan pada ketika itu juga, Baginda turut meminta sebahagian sahabat yang dipertanggungjawabkan sebagai penulis kitab al-Quran.
Antara penulis kitab al-Quran paling terkemuka dalam kalangan sahabat baginda ialah Sayidina Abdullah bin Saad, Sayidina Uthman bin Affan, Sayidina Ali bin Abi Talib, Sayidina Ubay bin Kaab, Sayidina Zaid bin Thabit dan Sayidina Muawiyah bin Abi Sufyan.
Sejak Islam berkembang lebih meluas pada zaman Sayidina Uthman sehingga Asia Tengah dan Afrika Utara, maka telah berlaku perbezaan dalam cara bacaan al-Quran sehingga sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh Sayidina Zaid bin Thabit ditugaskan kembali menyalin semula mushaf yang tersedia ada.
Mushaf yang tersusun itu disebut sebagai mushaf Uthmani. Lima daripadanya kemudian diedarkan ke lima tempat, iaitu Mekah, Madinah, Syam, Kufah, dan Basrah bagi tujuan menyeragamkan cara bacaan (qiraat) al-Quran.
Semenjak daripada itu, penulisan al-Quran mengalami perkembangan yang melibatkan beberapa fasa iaitu fasa penambahan titik sebagai penanda baris (nuktatul i’rob), fasa penambahan titik pada huruf (nuktatul i’jam), dan fasa perletakan tanda bacaan seperti panjang mad, tasydid, dan lain-lain.
Penulisan al-Quran dan pembacaannya turut diperindah dengan perkembangan pelbagai bentuk tulisan khat dan qiraat. Sehingga ke hari ini, sebahagian mushaf al-Quran dari zaman awal masih tersimpan di perpustakaan dan masjid seantero dunia.
Satu daripada manuskrip al-quran tertua di dunia dipamerkan di Paris
Salah satu manuskrip al-Quran tertua di dunia, al-Quran Kattalanggar akan dipamerkan di Paris akhir bulan ini dan didedikasi buat Uzbekistan.
Dua muka surat daripada manuskrip berusia berabad-abad akan dipamerkan dalam pameran “Treasures of the Oases Uzbekistan. At the Crossroads of Caravan Routes”, yang akan diadakan di Louvre dari 23 November hingga 6 Mac 2023.
Satu lagi pameran, “On the Road to Samarkand. Colors and Splendours of Uzbekistan”, akan diadakan di Institut Dunia Arab dari 23 November hingga 4 Jun 2023.
Menurut kenyataan yang diterima Bernama daripada kedutaan Uzbekistan, al-Quran Kattalangar abad kelapan itu merupakan antara manuskrip terpenting dunia Islam.
Al-Quran Kattalangar mempunyai nilai signifikan yang besar bagi Islam dan Muslim, dengan ia menunjukkan nilai-nilai yang membentuk warisan budaya dan sejarah tamadun manusia, menurut kenyataan itu.
Al-Quran itu berada di masjid Langar-ota di daerah Kamashi di wilayah Kashkadarya untuk tempoh masa yang lama.
Dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai satu daripada Mushaf paling kuno.
Ahli arkeologi di Muzium Louvre dan kurator pameran itu, Rocco Rante dipetik sebagai berkata adalah amat penting untuk memasukkan al-Quran Kattalangar dalam senarai barang pameran.
“Pengunjung dapat melihat seni khat dan miniatur unik yang terkandung dan al-Quran itu akan dipamerkan dalam sebuah kotak yang direka khas,” katanya.