KOTA Tareem di Hadramaut, Yaman merupakan tempat bersejarah lagi diberkati. Ia terkenal sebagai ‘Kota Seribu Wali’ kerana menjadi tempat berkumpulnya wali ALLAH.
Bumi barakah itu juga dikenali sebagai ‘al-Ghanna’ bererti tempat yang sangat subur dan makmur.
Malah, masyarakat di kota itu juga dirahmati dengan kebaikan serta perilaku mulia kerana memiliki darah keturunan Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah SAW menceritakan berkenaan Yaman menerusi sabdanya yang bermaksud: “Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, iman itu di Yaman dan fiqh itu di Yaman dan hikmah juga di Yaman.” (Hadis RIwayat Muslim)
Baru-baru ini seorang pelakon tanah air, Luqman Hafidz telah berkongsi pengalaman dan perjalanannya bersama rakan sekerja menziarahi bumi Tareem, Yaman.
Perkara tersebut telah dikongsinya menerusi satu hantaran di aplikasi TikTok. Dia turut kongsikan beberapa kepingan foto dirinya sempat beramah mesra dengan penduduk di sana.
Menurut Luqman, kunjungannya ke bumi Tareem itu untuk urusan kerja dan bersyukur perancangannya dipermudahkan.
“Sekadar perkongsian kepada mereka yang ingin melihat perjalanan kami di bumi Tareem.
“Kami dari Malaysia ke Tareem dengan niat untuk bekerja. Mencari rezeki yang halal di bumi yang penuh barokah. Tanpa kami sangka, rahmat yang kami terima di sini sungguh luar biasa.
“Kerja kami di sini dipermudahkan perjalanannya. Kami selesaikan amanah lebih awal dari dirancang. Kami berkesempatan solat di masjid dan hadir di majlis ilmu di sini.
Baca Juga Masya-ALLAH , begitu cantiknya masjid di Bradford yang sebelum ini merupakan bekas pub usang
“Merasa kebab dan makanan yang ada di sini walaupun di tepi jalan, nikmat ketenangannya menyelam di jiwa,” tulisnya.
Dalam pada itu, pelakon itu juga meluahkan rasa gembira kerana berpeluang untuk berkenalan dan dilayan dengan baik oleh penduduk di sana.
“Bertemu berkenalan dengan penduduk yang selalu rahmah bila disapa. Walau serba sederhana, kebahagiaan terukir di sekitarnya.
“Berpeluang melawat makam orang-orang yang beriman dengan kisah penuh panduan bersama pemandangan yang selalunya mendamaikan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Luqman juga menyatakan dia bersama rakannya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah filem pendek di hari terakhir mereka di sana sebagai kenangan.
“Kami bercadang untuk memberi sesuatu kembali kepada bumi Tareem di hari terakhir kami di sini. Kami abadikan dalam satu filem pendek yang bakal saya kongsikan.
Baca Juga Ini tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai terlepas pandang
“Filem pendek ini khas untuk semua yang pernah ziarah dan kepada semua yang sudah memasang niat untuk hadir ke sini. Doakan proses filem pendek ini dipermudahkan.
“Kami doakan sesiapa sahaja yang memasang niat ke bumi Tareem, dimakbulkan impian mereka dan diangkat nama mereka untuk ke sini. Amin. Terima kasih bumi Tareem untuk ketengangan ini. Terima kasih, Ya ALLAH,” katanya.