TAJUK ASAL: PALESTIN-ISRAEL TIDAK MUNGKIN BERSATU
OLEH: SARRAH MOHSIN
SEDAR tidak sedar, sudah hampir satu abad berlalu sejak kemelut Palestin-Israel bermula pada tahun 1948.
Pelbagai usul yang diutarakan oleh badan antarabangsa sebagai penyelesaian namun semuanya berakhir dengan pertumpahan darah dan ragutan nyawa tidak bersalah.
Sememangnya, perjanjian damai antara Palestin dan Israel hanya sebuah impian yang tidak mungkin digapai.
Demikian pendirian pakar hubungan antarabangsa, Profesor Dr Abd al-Fattah el-Awaisi ketika ditanya tentang konsep ‘Penyelesaian Dua Negara’ dalam wawancara eksklusif, Fireside Chat berjudul ‘The Palestinian Conflict: Shifting Perceptions’; ‘Konflik Warga Palestin: Anjakan Persepsi’.
Program Bual Bicara satu jam kendalian Tehmina Kaoosji itu dibawakan oleh Sinar Daily dengan kerjasama HALUAN, Majlis Profesor Negara dan Astro Awani.
‘Penyelesaian Dua Negara’ berteraskan hak rakyat Palestin kembali menghuni tanah negara mereka mengikut garis sempadan pra-1967 antara konsep perdamaian yang sering diperjuangkan dalam merungkai konflik Palestin-Israel.
Pun begitu, konsep itu telah lama terkubur dengan tindakan rejim Zionis yang bukan sahaja menolak penyelesaian berkenaan malahan terus meningkatkan rampasan tanah Palestin bagi menempatkan lebih ramai orang Yahudi Israel di atas tanah tersebut.
Baca juga 5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel
Seandainya Israel setuju dengan penyelesaian itu sekalipun, rejim berkenaan menjadi pihak yang lebih beruntung berbanding penduduk Palestin, kata Abd al-Fattah.
“Ada sesuatu yang dipanggil ‘menguruskan konflik’ dan ‘menyelesaikan konflik’. Perjanjian damai (dalam isu Palestin-Israel) hanyalah suatu cara menguruskan konflik. Ia (Penyelesaian Dua Negara) adalah proses perdamaian dan bukannya perdamaian itu sendiri.
“Sebaliknya, ia hanya membuka peluang bagi pihak yang lebih berkuasa (Israel) untuk mencapai matlamat mereka,” jelas ahli akademik itu yang percaya Penyelesaian Dua Negara sekadar propaganda Zionis dan tidak mampu menyelesaikan akar umbi isu.
Baca juga Operasi ‘BREAKING DAWN’ Zionis jarah nyawa rakyat Palestin
Palestin perlukan pemimpin sesuai
Menurut anak jati Baitulmuqaddis itu, antara faktor kemelut dua wilayah itu terus berlaku adalah kerana ketiadaan tampuk kepimpinan yang boleh diharap daripada pihak Palestin.
Jelas Abd al-Fattah, “Malangnya, kami (rakyat Palestin) tiada pemimpin yang bagus untuk memperjuangkan hak Palestin.
“Lebih parah, tiada kesefahaman antara penduduk Palestin sendiri. Ada pihak yang mahu menggunakan kuasa tentera untuk membebaskan wilayah tersebut. Manakala, sebahagian lain percaya bahawa rundingan adalah jalan terbaik bagi mendapatkan semula hak masyarakat Palestin.
“Jadi, kami tidak ada pucuk pemerintahan yang benar-benar boleh diharapkan. Biasanya mereka (pemimpin) terbahagi kepada dua, sama ada ingin melawan atau menyebelahi pihak Israel.”
Baca juga Undang-Undang Kejam Israel Curi Tanah Palestin
Ilmu kunci tangani konflik
Sebagai ahli akademik, Abd al-Fattah menegaskan bahawa ilmu antara kunci bagi menangani konflik Palestin-Israel.
“Bagi saya, cara terbaik untuk berhadapan dengan Zionisme adalah menerusi ilmu. Hakikatnya, pengetahuan (tentang konflik Palestin-Israel) yang sedang berleluasa di dunia Barat kini dikawal oleh pihak Israel.
“Jadi, apa yang saya dan rakan-rakan akademik lain berusaha untuk lakukan adalah mewujudkan ilmu baru (tentang isu tersebut) dan menyebarkan maklumat berkenaan,” kata pengasas Bidang Penyelidikan Penelitian Baitulmuqaddis tersebut.
Baca juga Cuba halau penduduk Palestin, tindak-tanduk Israel ‘diperhati’ mata-mata gergasi
Keadilan buat Palestin
Palestin pernah diakui sebagai negara berdaulat secara de facto oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2019, namun Abd al-Fattah berpendapat ia hanya sebentuk token semata-mata.
Realitinya, keadaan di Palestin tidak bertambah baik meskipun selepas keputusan itu dibuat.
Abd al-Fattah turut berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diwujudkan selepas berlakunya serangan ke atas Masjid al-Aqsa, tidak membantu dalam menyelesaikan kemelut Palestin-Israel.
“Apa yang pernah OIC lakukan? Saya minta maaf tetapi sejujurnya mereka tidak pernah lakukan apa-apa (untuk membantu rakyat Palestin),” ujar beliau.
Kata Abd al-Fattah, apa yang sebenar-benarnya diperlukan oleh rakyat Palestin adalah keadilan.
“Keadilan sebenar adalah supaya (kami) dapat pulang ke tanah air. Saya dihalang memasuki Palestin selama 30 tahun. Jadi, keadilan bagi saya adalah untuk pulang dan tinggal di sana buat selama-lamanya,” katanya.
DR ABD AL-FATTAH EL-AWAISI merupakan seorang profesor Hubungan Antarabangsa terkemuka, Felo Royal Historical Society United Kingdom dan pengasas Bidang Penyelidikan Penelitian Baitulmuqaddis.
Antara pencapaian terbesar beliau termasuk melahirkan teori baru dalam bidang Hubungan Antarabangsa seperti Teori Lingkaran Barakah Baitulmuqaddis dan Teori Aman (Kewujudan Bersama Damai dan Saling Menghormati)
Beliau pernah memenangi anugerah Stirling Council Provost’s Civic Award (1999), Special Award for Innovation, Islamic World Istanbul “Science” Award (2018) dan Custodian of al-Quds Award (2021).
FOTO : UNIT FOTO SINAR HARIAN & PEXELS