HANYA kerana tegur mengenai hiburan, imam besar Masjidil Haram dihumban dalam penjara selama 10 tahun.
Hukuman tersebut dikenakan oleh Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh selepas keputusan pembebasan yang dibuat sebelum ini dibatalkan.
Beliau ialah Sheikh al-Talib, merupakan seorang ulama Saudi yang terkenal. Khutbah dan bacaan ayat-ayat suci al-Qurannya diikuti oleh ramai orang di laman sesawang YouTube.
Bila diamati, rupanya teguran yang dibuat adalah kepada pemerintah Arab Saudi. Bukan tegur secara terus, namun tegur secara halus dalam khutbah.
Teguran Sheikh al-Talib mudah: jangan terlampau bebas bab hiburan. Ini selepas beliau mendapati kerajaan membenarkan terlalu banyak penganjuran konsert dan acara hiburan yang dianggap bertentangan dengan nilai agama dan budaya Saudi.
Agaknya murka, pemerintah de facto Saudi Putera Muhammad bin Salman (MBS) arahkan Sheikh al-Talib ditahan pada 2018 tanpa sebarang tuduhan dinyatakan.
Salah satu konsert yang dianjurkan pada 2018 ialah konsert pasca-perlumbaan Formula E yang diadakan di Riyadh.
Selain itu, Sheikh al-Talib juga minta kerajaan agar pertimbang semula keputusan benarkan pergaulan bebas lelaki dan wanita serta pembukaan kelab-kelab malam.
Baginya, keputusan yang dibuat oleh kerajaan bertentangan dengan nilai agama dan budaya tempatan.
Dengan hukuman penjara 10 tahun yang dinyatakan, beliau menyertai ramai figura Saudi yang dipenjarakan kerana mengkritik rejim MBS.
Sheikh al-Talib bukan satu-satunya individu yang dipenjarakan atas sebab kecil ini. Seorang lagi ulama Saudi yang kini dalam tahanan ialah Dr Salman al-Ouda.
Kes Dr al-Ouda sama seperti kes Sheikh al-Talib. Ini disebabkan oleh ciapan di Twitter pada 2017 yang mahu negara-negara Teluk kembali berbaik.
Ciapan beliau dianggap panas kerana pada ketika itu, beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi kenakan sekatan ke atas Qatar. Akibatnya, Dr al-Ouda dan beberapa orang figura penting Saudi ditahan atas dakwaan keganasan.
Sekatan ke atas Qatar akhirnya tamat pada Januari 2021. Akan tetapi keadilan masih belum tertegak buat Dr al-Ouda dan dikatakan kesihatannya di dalam lokap semakin merosot.
Tetapi itulah harga bersuara tentang kebenaran. Kedua-dua Sheikh al-Talib dan Dr al-Ouda menegur berpandukan hadis ini, “Barang siapa antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kekuasaannya). Jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (menasihatinya). Dan jika ia tidak mampu juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)