ULAMA tersohor Jordan, Sheikh Dr. Muhammad Naim Yasin dilaporkan telah meninggal dunia pada malam Isnin (3 Januari 2023), selepas berada dalam keadaan kritikal.
Khabar berkenaan dikongsikan oleh keluarga beliau di laman facebook yang memaklumkan bahawa Almarhum telah kembali menghadap Ilahi dengan keadaaan tenang.
“Nafas terakhirnya keluar seperti angin, dia tidak sakit atau menderita, wajahnya tersenyum.”
“Kami sekeluarga memohon agar kalian sentiasa mengingati beliau dalam solat dan bercerita tentang kisah hidupnya kepada pelajar serta anak-anak pada masa hadapan,” kata Abdul Rahim Al-Tanjuji.
Baca juga Islam diunjur menjadi agama dominan dunia menjelang tahun 2075
Sementara itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di laman facebook mengatakan bahawa dunia kini sedang menangisi pemergian seorang tokoh ulama di Jordan yang banyak menabur bakti kepada umat Islam.
Penulisan Almarhum sering menzahirkan keluasan penguasaannya dalam ilmu-ilmu Islam. Sejak lebih 30 tahun lalu, saya mengenali beliau menerusi deretan karyanya termasuk Kitab Al-Iman. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” kata Dr Zulkifli.
Antara karya terkenal beliau adalah kitab Al-Iman. Kitab ini telah dijadikan silibus dalam subjek Akidah di University of Jordan dan banyak lagi universiti lain di luar negara.
Jasa dan sumbangan
Almarhum Sheikh Dr. Muhammad Naim Yasin dikenali dunia sebagai seorang ulama fiqh kontemporari antaranya berkaitan akidah, perubatan dan zakat serta terkenal di peringkat antarabangsa.
Sheikh Dr. Muhammad Naim Yasin memiliki dua ijazah sarjana muda iaitu bidang syariah dan undang-undang dari Universiti Damsyik, Syria.
Beliau juga mempunyai dua ijazah sarjana (Masters) dari Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang Fiqh Muqaran (fiqh perbandingan) dan undang-undang di Universiti Kaherah, Mesir.
Menamatkan bidang pengajiannya di peringkat doktor (PhD) dalam bidang Fiqh Muqaran (fiqh perbandingan) di Universiti Al Azhar, Mesir.
Baca juga Ini kisah mengapa kopi diharamkan ulama Makkah suatu ketika dahulu
Beliau juga telah menulis lebih daripada 40 kertas penyelidikan mengenai isu perubatan dan zakat kontemporari dan telah menjadi dilantik sebagai ahli di 30 institusi pendidikan dan penyelidikan, termasuk jawatankuasa saintifik Ensiklopedia Juristic yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama di Kuwait.
Dr Yasin telah bekerja di pelbagai institusi untuk pendidikan tinggi, termasuk Universiti Jordan, Kuwait, Qatar dan Universiti Sains dan Pendidikan Islam Sedunia.
Pada tahun 1989, beliau telah menerima anugerah Islamic Organization for Medical Sciences (IOMS) yang berprestij dalam bidang Fiqh Perubatan daripada Yayasan Kuwait untuk Kemajuan Sains.