EKORAN gempa bumi besar yang menggegarkan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin dalam dua kejadian berasingan, ribuan orang maut serta cedera.
Kejadian pertama melanda sebelum matahari terbenam dalam cuaca buruk, sebelum ia disusuli dengan satu lagi fenomena tersebut pada awal petang hari yang sama.
Dalam tempoh 24 jam sejak bencana alam pertama berlaku, portal berita The Guardian melaporkan, angka kematian sudah melepasi 4,300 orang.
Portal berita berkenaan yang memetik laporan Anadolu Agency melaporkan, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) berkata, jumlah kematian terkini (setakat jam 10 pagi Malaysia) dari Syria kekal 1,444, menjadikan mangsa yang maut disahkan sebanyak 4,365 orang.

ORANG ramai mencari mangsa yang terselamat susulan gempa bumi di Besnia, di wilayah Idlib. -FOTO: AFP
Sementara itu, agensi berita CNN menyifatkan, insiden fenomena alam berukuran 7.6 pada skala Richter merupakan kejadian gempa bumi paling kuat melanda kawasan itu dalam tempoh lebih satu abad!
Bencana alam itu dilaporkan turut menyebabkan seluruh bangunan-bangunan di bandar Turkiye runtuh, selain mengakibatkan kemusnahan kepada rakyat Syria yang sebelum ini kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.
Baca juga Gempa bumi Cianjur: 2 pelajar khatam al-Quran, guru yang dihempap kubah masjid terselamat
Malah, gegaran itu turut dirasai sejauh Cyprus dan Kaherah.
Sinar Islam Plus berkesempatan mendapatkan respons seorang pelajar Malaysia yang kini berada di Turkiye.
Pelajar Basaksehir Islamic Academy Istanbul Turkiye, Muhammad Baihaqi Bin Hazami ketika dihubungi menjelaskan, dia bersama pelajar Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

MUHAMMAD BAIHAQI
“Kami pelajar Malaysia di sini alhamdulillah dalam keadaan yang selamat dan mengikuti rapat berita gempa bumi ini untuk tindakan berhati-hati.
“Mohon doa daripada rakyat Malaysia untuk rakyat Turkiye dan Syria (dalam insiden gempa bumi),” katanya ketika dihubungi secara maya.
Menurut Muhammad Baihaqi, rentetan daripada insiden menggemparkan itu, kerajaan Turkiye sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk rakyat bertindak jikalau berlaku gempa bumi susulan.
Malah katanya, pihak berkuasa turut diletakkan di tempat kejadian untuk meneruskan pencarian dan untuk memerhatikan rakyat yang selamat serta memberikan perlindungan sementara.
“Kerajaan Turkiye juga sudah mengeluarkan seruan bantuan kecemasan antarabangsa yang menyeru negara-negara luar untuk memberi bantuan dengan kadar segera.
Baca juga Lakukan amalan ini ketika gempa bumi
“Kerajaan Malaysia juga sudah menghantar pasukan untuk membantu. Tahniah Kerajaan Malaysia,” ungkapnya.

ANGGOTA terlibat semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak bangunan yang runtuh di Iskenderun, Hatay dalam gempa bumi Tukiye-Syria pada Isnin. -FOTO: EPA
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Malaysia menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamar Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.
Kedutaan Turkiye dalam hantarannya di Twitter mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan, tiada rakyat Malaysia yang terjejas dalam bencana berkenaan.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.
***Foto: Anadolu Agency