Bagaimana Arab Saudi menukar tanah tandus dan padang pasir menjadi hijau?
SABDA Rasulullah SAW: “Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga bumi Arab kembali menghijau dan mengalirkan sungai-sungai” (Hadis Riwayat Muslim).
Mungkin dianggap jarang berlaku, beberapa kawasan padang pasir di Arab Saudi yang dahulunya tandus kini bertukar hijau selepas mengalami cuaca hujan lebat berterusan pada bulan lalu.
Merujuk media rasmi Tanah Suci Mekah, Haramain Sharifain, landskap dan kawasan lembah di kawasan terlibat bertukar menjadi hijau setelah ia menerima hujan berterusan sebanyak dua hingga tiga kali sehari.
Bagaimanapun difahamkan, ia dijangka akan kembali seperti biasa (keadaan kering) selepas musim hujan reda.
Dalam laporan sama, Kementerian Pendidikan (Arab Saudi) juga terpaksa menangguhkan beberapa kelas di institusi pengajian ekoran situasi tidak dijangka iaitu banjir di kawasan bandar.
Pemandangan menarik padang pasir tandus bertukar halaman hijau tersebut turut dirakam oleh orang awam dan tersebar meluas ke media sosial sejak akhir-akhir ini.
Misi dan visi menghijaukan bumi Arab Saudi
Memetik perkongsian pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin mengatakan misi menghijaukan bumi Arab merupakan visi 2030 yang dilancarkan Putera Salman, beberapa pendekatan dilaksanakan kerajaan negara tersebut sejak berdekad lalu sehinggalah kini.
Jika dahulu ia kering kontang dan hanya terdapat beberapa kawasan sahaja yang berumput, kini kawasan tersebut semakin meluas. Persoalannya mengapa Arab Saudi kini sangat agresif dalam menghijaukan muka buminya?
BACA JUGA Arab Saudi negara penderma bantuan kemanusiaa nombor satu dunia
Keuntungan negara tersebut datangnya dari hasil minyak dan gas. Justeru Arab Saudi mengimport 80% keperluan rantaian makanan hasil keuntungan minyak tersebut. Kajian juga mendapati menjelang akhir kurun ke 21, tanah Arab akan semakin panas, tandus kering dan kurang kitaran hujan.
Arab Saudi menghadapi masalah dari segi rantaian makanan, lantaran itu negara tersebut berbelanja besar dalam mengimpot makanan dari luar, peningkatan pelepasan gas karbon dioksida CO2, kesan kemarau kepada penduduk gurun yang rata-rata merupakan suku kaum Badwi dan pada masa yang sama kesan kepada ternakan tempatan.
Kerajaan Arab Saudi kini melakukan perubahan besar terhadap bentuk mukabuminya dengan menukarkan tanahnya sama seperti 10,000 tahun lepas iaitu Savana Kehijauan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah menggunakan satelit untuk mengawalselia pengeluaran produk-produk tanaman hijau yang dibangunkannya menerusi kaedah Pengairan Pangsi Pusat serta Liquid Nanoclay.
BACA JUGA Hikmah Maryam diperintahkan ALLAH menggoncang pokok tamar selepas bersalin
Walaupun masih agak mahal, teknologi antarabangsa seperti ini memberikan harapan kepada pertanian di Arab Saudi, serta kawasan lain yang kekurangan air dan bergantung kepada import makanan.
Pengairan Pangsi Pusat kini semakin banyak dibangunkan dan turut dibangunkan ke arah utara semenanjung Arab. Projek ini memberi hasil tanaman hijau kepada negara tersebut dan menerusi Visi 2030, kerajaan Arab Saudi dalam usaha menanam 10 billion pokok.
10 juta daripadanya kini telah berjaya ditanam, bermanfaat dalam menyuburkan tanah, mengembalikan kitaran hujan serta Kitar Nitrogen.
Antara projek lain yang dibangunkan kerajaan adalah NEOM dan juga sumbangan pakar permakultur dari Amerika menerusi projek Al-Baydha, di mana penduduk di kawasan gersang kini mulai merasa hasil tanaman dan mengelakkan kemiskinan serta kebuluran bagi suku kaum badwi yang masih tinggal di kawasan gurun.
Obektif utama projek ini adalah menukar tanah tandus menjadi tanah yang sesuai bagi agrikultur, antaranya menggunakan kaedah yang diamalkan kaum Inca ribuan tahun dahulu.
BACA JUGA Ini suntikan ‘dos penyelamat’ agar tidak menjadi Mat Jenin moden yang bermimpi pada siang hari
Misi dan visi menghijaukan bumi Arab Saudi membantu mengurangkan kemiskinan, kebuluran, membiakkan ternakan, meningkatkan kapasiti air, mengurangkan kesan rumah hijau, memperbanyakkan pengeluaran sayuran hijau dan daging dan menjadikan penduduk tempatan dan luar selesa mendiami negara ini.
Tidak salah usaha menghijaukan kembali bumi Saudi, cuma ia membuka mata kita tentang kebenaran mukjizat apa yang pernah disabdakan oleh Baginda SAW dan sebagai satu petanda alam ini sudah semakin menghampiri penghujungnya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus