STATISTIK Kementerian Kesihatan Sektor HIV/Penyakit Jangkitan Kelamin (STI), Bahagian Kawalan Penyakit pada 2017 menunjukkan 1,697 individu yang mengamalkan seks songsang seperti homoseksual dan biseksual ialah penghidap HIV baharu.
Mengikut pecahan kaum, 54 peratus mewakili 1,800 individu daripada 3,347 jumlah keseluruhan kes baharu penghidap HIV merupakan orang Melayu. Jumlah itu lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina iaitu sebanyak 725 dan lebih besar berbanding kaum India hanya 240 kes baharu.
Kementerian Kesihatan melaporkan golongan gay atau homoseksual direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun 2018, berbanding 173,000 lima tahun lalu ketika itu.
Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof, berpandangan kebanyakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula sejak mereka di sekolah berasrama, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 12 hingga 15 tahun kerana belum matang dan tak dapat membezakan jenis sentuhan ke atas mereka.
Menurutnya, dalam beberapa kes, mereka (kanak-kanak dan remaja lelaki) diliwat pelajar senior ketika berada di sekolah berasrama, sekali gus mengakibatkan wujudnya faktor ketagihan kepada seks sejenis dan bertukar menjadi seorang gay.
Kurang penghayatan agama
Melalui kajian daripada Institusi Penyelidikan Pembangunan Malaysia, didapati terdapat dua pengaruh menyebabkan golongan belia di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur terlibat dalam gejala gay iaitu pengaruh dalaman dan pengaruh luaran.
Antara pengaruh dalaman yang menjadi aspek perbincangan di bawah sub-tema kajian adalah mengenai kurangnya penghayatan agama.
Penghayatan agama adalah penting dalam memandu manusia bertingkah laku secara baik dan bermoral. Banyak masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah disebabkan oleh kurangnya penghayatan kepada agama.
Malah, agama dan keimanan merupakan benteng yang paling kukuh dalam mengawal hawa nafsu serta mendidik individu untuk membezakan antara perkara yang baik dan buruk.
Melalui kajian ini, penyelidik mendapati dua daripada enam informan mengaitkan isu agama dalam membincangkan masalah gay yang mereka hadapi iaitu:
“My mom and dad sendiri tak pernah jejak kaki ke Gereja, apatah lagi nak bawa saya pergi gereja… Jadi saya langsung tak peduli soal agama…” (Informan B)
“Saya memang lahir dari keluarga yang mempunyai pegangan agama yang kuat…Nak-nak ayah saya, ustaz kat sekolah…Saya pernah beberapa kali khatam al-Quran…hmm tapi, semua tu saya tak hayati dalam hidup… Solat pun kadang-kadang tak cukup…” (Informan D)
Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas menunjukkan bahawa aspek keagamaan yang rendah dan lemah antara pengaruh yang menyebabkan informan terjerumus dalam gejala gay.
Baca juga Rasuah bukan sekadar duit kopi, ini realitinya
Penghayatan agama seharusnya menjadi satu perkara yang wajib dalam kehidupan. Individu yang berpegang dengan agama akan dapat memastikan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum bertindak untuk melakukannya.
Hasil kajian menunjukkan bahawa informan yang kurang berpegang teguh kepada agama menyebabkan mereka terpesong dari batas kehidupan yang normal sebagai seorang manusia.