PEMULIHAN al-Quran tulisan tangan berusia 500 tahun yang rosak teruk ditelan masa dan unsur semulajadi, berkemungkinan akan selesai pada akhir April ini, menurut Perpustakaan Nasional Taiwan.
Pakar dalam pemulihan teks kuno dan kaligrafi, Hsu Mei-wen berkata, hanya kulit buku dan penjilidan buku yang masih tinggal untuk dibaiki.
“Semua kerja pemulihan al-Quran sepatutnya selesai pada akhir April.”
“Proses ini sangat rumit dan panjang kerana al-Quran tersebut ditulis menggunakan tangan dan mengambil masa setengah hari untuk membaiki hanya satu muka surat.
“Teks al-Quran mengandungi 75 surah itu, ditulis tangan oleh empat orang yang berlainan, menggunakan dakwat yang berbeza dan disiapkan sekitar abad ke-15 atau ke-16,” kata Hsu kepada media CNA.
Dua tahun lalu, al-Quran itu telah disampaikan sebagai hadiah oleh Faisal Hu, seorang sukarelawan Tzu Chi dan Muslim yang berpangkalan di Turki kepada Guru Dharma, Cheng Yen pengasas Yayasan Amal Buddha Tzu Chi yang berpangkalan di Taiwan.
“Di suatu hari, Cheng Yen menyelak al-Quran tersebut dan mendapati seperti semut menghurung pada beberapa halaman, beliau kemudian menghubungi perpustakaan negara,” jelasnya.
Menurut Hsu lagi, ‘semut’ itu sebenarnya adalah kumbang (cigarette beetles), yang biasa ditemui pada buku lama.
Baca Juga Khatam atau tadabbur al-Quran, mana yang lebih utama di bulan Ramadan?
Al-Quran tulisan tangan paling tua yang pernah dijumpai di Malaysia
Umat Islam di Malaysia juga tidak ketinggalan turut menghargai al Quran tulisan tangan. Dua buah Quran tulisan tangan dipercayai masing-masing berumur 414 dan 184 tahun pernah diserahkan oleh penyimpan-penyimpannya di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak kepada Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia untuk diawet dan dibuat salinan fotografi.
Memetik laman portal orangperak.com, inilah al-Quran tulisan tangan paling tua yang pernah dijumpai di Malaysia dan ia disimpan lama di Pulau Tiga, Kampung Gajah.
Berdasarkan dari anggaran umur Quran tersebut, berkemungkinan ia ditulis sejak pada tahun 1603 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah iaitu Sultan Perak yang ke-6, manakala yang satu lagi ditulis dalam zaman pemerintahan Sultan Perak yang ke-21 iaitu Sultan Shahabuddin Riayat Shah pada tahun 1833.
Menurut Pejabat Kebudayaan, Belia dan Sukan di Parit pada tahun 1983, al-Quran yang dipercayai berumur 380 tahun (pada waktu itu) dikenali sebagai nama Quran Semut Gatal oleh penduduk Pulau Tiga.
Baca Juga Manuskrip al-Quran 7 qiraat jadi tarikan di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh
Ia dikatakan telah ditulis oleh tiga orang ahli agama yang tinggal di Pulau Tiga. Nama penulis pertama dan kedua tidak diketahui tetapi penulis yang ketiga dikenali sebagai nama Tok Mencalang iaitu seorang penyair, ahli pantun dan perseloka yang amat terkemuka di Pulau Tiga pada waktu itu.
Manakala naskhah al-Quran yang satu lagi berumur 184 tahun itu pula ditulis oleh Sheikh Hussein Al Yamani. Beliau adalah seorang pendakwah Arab yang datang tinggal di Pulau Tiga pada sekitar tahun 1860.
Ikuti kami juga di telegram