TARIKH melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini adalah pada petang Rabu, 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijrah.
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam, tarikh permulaan puasa akan diisytiharkan pada malam itu melalui radio dan televisyen.
Kenyataan itu menyebut jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.
“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa berkenaan juga diperkenankan melihat anak bulan di Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

RABU, 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijrah merupakan tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan.
Di Perak, lokasi melihat anak bulan adalah di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.
BACA JUGA Arab Saudi umum beberapa peraturan menjelang 1 Ramadan 1444H
Lokasi lain Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.
Selain itu, Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berinchang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan (Pahang).
Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

“MELIHAT anak bulan adalah fardu kifayah. Perlu satu pihak bertanggungjawab melihat hilal pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan pada hari tersebut,” – Mufti Selangor
BACA JUGA Selangor lantik wanita pertama sebagai nazir masjid, namun apa tugas nazir?
Anekdot:
Definisi matlak
Matlak adalah tempat terbit objek langit. Manakala dari segi istilah falak pula, matlak adalah keluasan sesuatu tempat yang dapat melihat anak bulan atau dengan kata lain ia ditafsirkan sebagai kawasan yang berada pada jangka masa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama.
Matlak dalam ilmu falak juga disebut sebagai had sempadan bagi sesuatu kawasan yang diterima kenampakan anak bulannya untuk kawasan berkenaan, atau tentang terbitnya anak bulan untuk menentukan awal dan akhir bulan Hijri.