Author

wanita mendidih otak
Aqidah,

Benarkah wanita yang membuka aurat akan dihukum sehingga otaknya mendidih?

Benarkah wanita yang membuka aurat akan dihukum sehingga otaknya mendidih?

DALAM surah an-Nisa, ada disebutkan secara terperinci mengenai aurat wanita yang perlu ditutup. Hanya tapak tangan dan muka sahaja yang boleh dilihatkan yang telah diterangkan pula melalui hadis sahih daripada Rasulullah SAW.

Apabila turunnya surah an-Nur ayat 31, ALLAH telah memerintahkan kepada kaum wanita untuk melabuhkan tudung mereka untuk menutup aurat mereka.

Ia adalah untuk menjaga kehormatan dan menutup perhiasan mereka agar sentiasa dijaga kemuliaannya.

Firman ALLAH: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Baca juga Bapa tanggung dosa jika anak perempuan tidak menutup aurat?

wanita mendidih otak

DIKATAKAN wanita yang tidak bertudung akan dididihkan otaknya di akhirat kelak. Foto: 123RF

Berkenaan dengan perihal wanita yang sengaja mendedahkan aurat atau tidak menutup kepalanya dengan baik, diceritakan bahawa hukuman serta azab buat mereka amat berat.

Sebagaimana dalam sebuah periwayatan, ada menyebut: “Ada sebuah hadis yang menceritakan mengenai Fatimah dan Ali yang telah melihat Rasulullah menangis kerana terkenangkan peristiwa Israk Mikraj kerana di dalam neraka terdapat golongan wanita yang diseksa antaranya rambut mendidih sehingga terkeluar otak kerana tidak menutup aurat, perempuan yang tergantung kedua kakinya kerana tidak taat kepada suaminya, iaitu keluar rumah tanpa izin suaminya dan perempuan yang tidak mahu mandi hadas ketika ia suci dari haid dan nifas.“

Ulama menilai hadis tersebut sebagai hadis yang palsu kerana ia diriwayatkan tanpa sanad.

Riwayat itu ada disebut oleh al-Zahabi dan Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Kabair.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendapat lain turut mengatakan bahawa sanad bagi hadis berkenaan adalah dari kalangan perawi yang tidak diketahui kedudukannya, iaitu Ali bin Abdullah al-Warraq dan Abdul ‘Azim al-Hasani.

Manakala, ada seorang lagi perawi yang lemah kedudukannya, iaitu Abu Said Sahal bin Ziyad al-Azmi.

Justeru, ulama bersepakat bahawa status hadis ini adalah palsu.

wanita mendidih otak

KAUM wanita Muslim dituntut oleh agama untuk menutup aurat. Foto: Pexels

Baca juga Suami tidak reda isteri bertudung labuh, perlukah isteri mentaatinya?

Hukum menutup aurat

Apa pun, agama sememangnya menuntut umat Islam memelihara aurat, baik lelaki mahupun perempuan. Bahkan hukum membuka aurat, sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain, tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram.

Oleh itu, setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi.

Firman ALLAH: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya ALLAH Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah al-Nur ayat 30 hingga 31)

Sumber: Tzkrh

Foto: 123RF & Pexels

Benarkah wanita yang membuka aurat akan dihukum sehingga otaknya mendidih?

tathayyur syirik kecil
Aqidah,

‘Kupu-kupu masuk rumah tanda tetamu datang’, ini contoh ungkapan tathayyur yang dikira syirik kecil

‘Kupu-kupu masuk rumah tanda tetamu datang’, ini contoh ungkapan tathayyur yang dikira syirik kecil

“Ada kupu-kupu masuklah ke dalam rumah. Mesti ada tetamu nak datang ni.”

“Eh, ada ular melintas di jalan, mesti ada perkara buruk yang akan berlaku hari ini.”

“Kirimkan SMS ini ke 10 orang, nescaya kamu akan terhindar daripada musibah.”

Baca juga ‘Design’ muka orang jadi stiker ‘Whatsapp’, memanglah kelakar tapi boleh datangkan DOSA!

Ayat-ayat sebegini sering kita dengar di cuping telinga. Malah ada sebahagian daripada kita yang beramal dengan tanggapan sedemikian.

Tetapi sedarkah anda, ungkapan seperti itu sebenarnya merupakan antara contoh ayat-ayat syirik tanpa sedar. Sabda Rasulullah SAW,

“Thiyarah itu syirik, thiyarah itu syirik, thiyarah itu syirik dan setiap orang pasti (pernah terlintas) dalam hatinya sesuatu tentang hal ini. Hanya ALLAH sahaja yang menghilangkannya dengan tawakal kepadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

tathayyur syirik kecil

Memetik portal tzkrh, hadis itu menjelaskan bahawa tathayyur ataupun thiyarah itu adalah salah satu daripada perbuatan syirik dan berdosa melakukannya. Syirik ini merupakan antara syirik kecil.

Bahkan, tiga kali Rasulullah SAW menyebut dalam hadis baginda sekaligus menekankan bahawa perbuatan mempercayai perkara-perkara seperti ini adalah berdosa dan dilarang sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN:

Apa itu Thiyarah atau Tathayyur?
Thiyarah merupakan istilah Bahasa Arab yang membawa maksud burung. Sejarahnya bermula pada zaman orang Arab jahiliyyah ketika ingin mengerjakan safar.

Mereka akan merujuk kepada pergerakan burung yang telah dilepaskan ke langit kerana bagi mereka jika burung tersebut bergerak ke kiri, maka mungkin akan terjadi musibah di tengah jalan manakala jika burung tersebut bergerak ke sebelah kanan, maka nasib yang baik-baik sahaja akan menyusul dan mereka dibenarkan untuk mengerjakan safar (perjalanan) .

Dari segi umumnya, maksud thiyarah adalah beranggapan sial ketika terjadinya sesuatu musibah yang melanda dengan alasan sesuatu perkara yang terjadi sebelumnya. Ia adalah sama erti dengan tathayyur.

peristiwa Safar

ELAKKAN meletakkan kepercayaan kepada makhluk selain ALLAH SWT. Hanya DIA sahaja mampu menentukan sesuatu takdir. Foto: 123RF

ALLAH Maha Penentu
Firman ALLAH, “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi ALLAH”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: “Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu.” Katakanlah wahai Muhammad: “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi ALLAH.” Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami (nasihat dan pengajaran)?” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)

Setiap kejadian di muka bumi ini terjadi dengan izin ALLAH . Sebagai seorang hamba yang bertaqwa dan mempunyai iman di dada, wajib mempercayai kepada qada’ dan qadar.

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-A’raaf, ayat 131)

Rukun iman yang keenam ini juga disebut sebagai takdir, iaitu setiap apa yang berlaku ini adalah dengan izin ALLAH yang merupakan aturan kepada perjalanan alam ini.

Oleh itu, perbuatan mensyirikkan ALLAH dengan meletakkan pergantungan kepada makhluk lain selain DIA serta menafikan segala yang berlaku sama ada yang zahir atau batin adalah aturan ALLAH dianggap berdosa.

Sumber: Tzkrh

Foto: 123RF

peristiwa Safar
Berita Semasa,

Peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Safar

Peristiwa besar dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Safar

KITA baru sahaja memasuki bulan Safar. Ia merupakan bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas Muharam.

Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharam dan berhenti pada bulan Safar.

Safar juga bermaksud ulat yang berada di dalam perut manusia ketika lapar (menyebabkan muka orang yang mengalaminya kelihatan kuning), yang berkemungkinan boleh membawa maut.

Baca juga Syaaban saksi banyak peristiwa besar, antaranya arah kiblat dialih dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Makkah

peristiwa Safar

BULAN Safar dianggap sebagai bulan yang membawa sial bagi masyarakat Arab Jahiliyyah dahulu. Foto: 123RF

Safar adalah bulan sial?
Selain itu, bulan Safar turut digelar bulan sial oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang percaya bahawa perkara buruk akan berlaku pada waktu ini.

Namun, bagi umat Islam, tanggapan sedemikian dikira amalan syirik yang dilarang agama. Ini juga termasuk kepercayaan seperti menganggap bulan Syawal sebagai bulan sial untuk bernikah atau larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain.

Sebaliknya, setiap Muslim hendaklah memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan ALLAH SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada-NYA.

ARTIKEL BERKAITAN:

Doa boleh diamalkan

Oleh itu, kita turut dianjurkan agar mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis ini.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Ertinya: “Ya ALLAH, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (Hadis Riwayat Ahmad)

peristiwa Safar

PADA bulan Safar, peperangan dibenarkan buat pertama kali untuk umat Islam. Foto: 123RF

Baca juga Tiga tokoh Muslimah dalam peristiwa hijraturrasul yang ramai terlepas pandang

Peristiwa penting di bulan Safar dalam sejarah Islam

Bulan Safar sebenarnya mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting dalam sejarah Islam. Antaranya adalah:
1. Pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah binti Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul.

2. Umat Islam dibenarkan berperang buat pertama kali pada tahun ke-2 Hijrah. Peperangan pertama disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran.

3. Tragedi al-Raji’. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 H yang melibatkan tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah).

4. Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada bulan Safar tahun ke-7 Hijrah dengan turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Di dalam peperangan tersebut, 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula 73 terbunuh.

Sumber: Harian Metro

Foto: 123RF

jenazah mangsa kemalangan
Berita Semasa, Ibadah,

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

RATA-rata rakyat Malaysia sangat terkesan dengan kejadian pesawat terhempas yang dilaporkan berlaku di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Pun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kesedihan di sebalik tragedi itu pastinya paling dirasai oleh ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang mereka.

Seramai 10 individu maut dalam nahas terbabit. Mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, berkecai, malah ada juga yang telah terbakar.

Baca juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

berkecai terbakar urus jenazah

 

ARTIKEL BERKAITAN:

Menguruskan jenazah kebakaran

Dari sudut menguruskan mayat kemalangan, portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum asal bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ia terbakar ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), air tidak diperlukan kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan.

Sebaliknya, proses memandikan jenazah kebakaran boleh digantikan dengan tayamum, sebagaimana dipersetujui para ulama Syafie.

ADA cara tertentu digariskan Islam untuk menguruskan jenazah yang jasadnya sudah berkecai atau terbakar. Gambar hiasan: Astro Awani

Mayat berkecai

Adapun, mangsa berada dalam keadaan hancur berkecai, namun masih terdapat anggota badan yang mampu dikutip.

Dalam situasi sebegitu, pendakwah Ustaz Mohd Riza berkata, mana-mana anggota badan yang berjaya dikutip perlu dikumpulkan dan diniatkan mandi jenazah dengan menjiruskan air seperti biasa.

Namun sekiranya fizikal mangsa sudah hancur sepenuhnya sehinggakan hanya tinggal cebisan, maka jenazah tidak perlu dimandikan. Malah bergantung kepada keadaan si mati, adakalanya tayamum juga tidak diharusnya.

Kata Mohd Riza kepada Mingguan Wanita, dalam hal itu, sudah memadai hanya membalut cebisan tersebut kemudian disolatkan jenazah serta dikebumikan seperti biasa.

Baca juga Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

jenazah mangsa kemalangan

PENGEBUMIAN beberapa jenazah dalam satu liang lahad dibenarkan dalam keadaan darurat. Gambar hiasan: Sinar Harian

Turut disyorkan Dah ubah ‘macam-macam’, ini tatacara uruskan jenazah transgender

Kebumi jenazah dalam satu liang lahad

Pihak Mufti turut menjelaskan, hukum asal mengebumikan dua jenazah dalam satu kubur adalah haram.

Namun begitu, perbuatan itu dibenarkan dalam keadaan darurat seperti terlalu banyak orang yang meninggal atau mungkin sukar membezakan jenazah kerana anggota badan yang sudah hancur dan bercampur akibat kemalangan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Mingguan Wanita

Foto: 123RF, Sinar Harian & Astro Awani

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

gambar mangsa kemalangan
Berita Semasa,

Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

BERHENTI menyebarkan gambar atau video mangsa kemalangan di media sosial, lebih-lebih lagi jika ia memaparkan muka atau tubuh badan individu berkenaan.

Hakikatnya, perkara itu kerap berlaku sejak negara digemparkan dengan kejadian nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Baca juga Jangan suka-suka viralkan gambar jenazah, ini hukumnya yang wajib kita tahu

gambar mangsa

 

Susulan peristiwa itu, ada segelintir pihak yang seolah-olah berlumba-lumba ingin menjadi ‘wartawan segera’ dengan menyebarkan gambar dan video mangsa yang terbakar tanpa sekelumit rasa bersalah.

Perlakuan sedemikian ditegur oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu ciapan di Twitter.

Kata beliau, perlakuan tidak bermoral itu akan melukakan hati keluarga mangsa yang terlibat.

“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, malah ia juga melibatkan maruahnya (mangsa),” ciap Zulkifli.

Sabda Nabi SAW, “Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN:

MENYEBARKAN gambar atau video mangsa kemalangan boleh membuka aib individu tersebut selain melukakan hati keluarganya. Gambar hiasan/123RF

Baca juga Solat jenazah ghaib bukan untuk arwah yang hilang atau di luar negara sahaja. Ini perinciannya

Manakala, pendakwah Ustaz Mohammad Abdul Kadir Sahak memberitahu, penyebaran gambar mahupun video yang memaparkan wajah atau tubuh badan mangsa kemalangan dalam laman media sosial adalah perkara yang haram di sisi agama Islam.

Tambahnya, kematian tersebut tidak kira sama ada meninggal secara biasa, mangsa kemalangan maut, mangsa bunuh atau kes bunuh diri.

“Kita masih ditegah untuk mengambil gambar, video kerana mencemar kemuliaan seseorang manusia tidak kira sama ada gambar orang yang meninggal dunia secara biasa atau akibat kemalangan.

“Yang berlaku, biarkan kekal berlaku dan diketahui orang yang ada di lokasi kejadian, siapa yang mampu membantu, maka dia bantu.

“Bukan untuk ambil kesempatan untuk dapat ‘like’ di Facebook dan seumpamanya, maka perkara ini ditegah dalam agama,” kongsinya menerusi laman Facebook miliknya.

Titip agamawan itu, sebaliknya kita disunahkan untuk menyelimutkan jenazah dengan niat untuk menjaga kehormatan mangsa sekiranya bertemu dengan mangsa kemalangan yang disahkan meninggal dunia.

Sumber: Facebook & Majoriti

Foto: BERNAMA & 123RF

Tafsir al-Quran
Hukum,

Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

USAI membaca al-Quran, biasanya seorang Muslim akan mengucapkan ‘Sadaqallahul azim’. Kalimah tasdik itu sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia sebagai tanda mengangkat martabat kitab suci ALLAH berkenaan.

Pun begitu, wujud juga dalam kalangan masyarakat kita yang melarang penggunaan kalimat ‘sadaqallahul azim’ selepas membaca al-Quran atas alasan amalan tersebut tidak pernah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, lantas menjadikan ia perbuatan bidaah.

Namun, sebagaimana dijelaskan oleh portal Mufti Wilayah Persekutuan, ucapan sadaqallahulazim merupakan salah satu cara penghormatan kita terhadap al-Quran.

Baca juga Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

sadaqallahul azim

DARI manakah asal usul amalan mengucapkan ‘Sadaqallahul azim’ selepas membaca al-Quran? Foto: 123RF

Penggunaan kalimat ini juga pernah disebutkan serta dipersetujui oleh para ulama. Antaranya, ulama Imam al-Qurtubi berkata:

“Antara cara menghormati Al-Quran adalah apabila seseorang selesai membacanya, dia membenarkan Tuhannya dan bersaksi bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan Al-Quran, serta bersaksi bahawa Al-Quran adalah benar dengan mengucapkan: “صدقت ربنا وبلغت رسلك ونحن على ذلك من الشاهدين” (Engkau benar wahai Tuhan kami, Engkau telah mengutuskan Rasul-Mu, dan kami menjadi saksi ke atas perkara tersebut.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi)

ARTIKEL BERKAITAN:

Pujian kepada ALLAH
Pihak Mufti turut menjelaskan, para ulama kontemporari seperti Majlis Fatwa Jordan telah menegaskan bahawa ucapan sadaqallahulazim bukanlah amalan bidaah yang tercela.

Sebaliknya, ia adalah bentuk zikir dan pujian terhadap ALLAH SWT. Seperti yang diketahui, kita dianjurkan berzikir dalam setiap waktu dan keadaan.

Lantas, berzikir dan memuji ALLAH selepas membaca al-Quran bukannya suatu bidaah atau perkara yang menyalahi syarak, tetapi ia adalah satu penghormatan dan adab terhadap al-Quran serta ALLAH SWT.

sadaqallahul azim

LAZIMKAN membaca al-Quran setiap hari sekalipun hanya satu mukasurat. Foto: 123RF

Hukum mengucapkan dalam solat
Dalam pada itu, pihak Mufti berkata, perbuatan mengucapkan sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran dalam solat tidak akan membatalkan solat tersebut.

Hal ini kerana ungkapan itu dikira zikir dan bukannya percakapan dengan orang lain.

Kesimpulannya, membaca sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran bukannya perbuatan bidaah dalam agama, bahkan ia merupakan satu bentuk zikir yang digalakkan untuk dibaca sebagai salah satu cara memuliakan al-Quran dan beradab dengan ALLAH SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

doa 40 tahun
Aqidah,

Perbanyakkan doa ini jika anda telah mencecah umur 40 tahun

Perbanyakkan doa ini jika anda telah mencecah umur 40 tahun

SETIAP tahun ketika menginjak angka baharu dalam kehidupan, ramai yang gemar meraikannya sebagai sambutan hari lahir. Dalam sama sama, ia juga bererti kita semakin hampir dengan kematian.

Hakikatnya, dunia ini adalah persinggahan sementara bagi setiap insan mengumpul ‘bekalan’ untuk digunakan di akhirat kelak. Umur yang panjang boleh dianggap sebagai rezeki andai ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan amal soleh.

Tetapi ia juga mampu berubah menjadi istidraj dalam sekelip mata jika hanya maksiat dan perkara sia-sia yang memenuhi usia panjang tersebut. Akibatnya azab yang diterima pada hari kiamat nanti akan lebih besar dan lama.

Baca juga Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Pun begitu, tidak salah jika kita ingin mengadakan sambutan hari jadi bagi meraikan usia yang meningkat. Malah apabila kita mencapai umur 40 tahun, kita dianjurkan untuk membaca ayat 15 Surah al-Ahqaf.

Amalan itu juga dilazimi oleh para salafussoleh sebagai tanda syukur, insaf serta pengharapan kepada ALLAH SWT.

doa 40 tahun

ARTIKEL BERKAITAN:

Doa ketika mencapai umur 40 tahun
Doa yang dimaksudkan itu merupakan potongan daripada firman ALLAH dalam Surah al-Ahqaf ayat 15:

رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِىٓ ۖ إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Ertinya: “Ya Tuhanku, bimbinglah daku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku & kepada ibu bapaku dan supaya aku kuat melakukan amal soleh yang Engkau redai, dan kurniakanku zuriat soleh & solehah. Sesungguhnya aku ingin kembali bertaubat kepadaMU dan sesungguhnya aku termasuk orang berserah diri.

Menurut Imam Ibnu Kathir, pada asalnya ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 40 tahun untuk memperbaharui taubat kepada ALLAH SWT.

Manakala, sebahagian ulama lain pula menyebut bahawa ayat ini dianjurkan untuk dibaca sebagai doa tatkala umur mencapai 40 tahun, dan amalan ini ada diriwayatkan daripada golongan salaf.

Pun begitu, tidak semestinya seseorang perlu menunggu umur mencecah 40 tahun untuk membacanya, bahkan doa tersebut wajar untuk sentiasa dilazimi dalam setiap keadaan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

kucing mimpi
Aqidah,

Kucing muncul dalam mimpi? Ini maksudnya mengikut Ibnu Sirin

Kucing muncul dalam mimpi? Ini maksudnya mengikut Ibnu Sirin

KUCING boleh ditemui di pelbagai tempat. Jika ia tidak dipelihara oleh seseorang, ‘si bulus’ itu biasanya boleh dijumpai di kawasan yang ada banyak makanan seperti di pasar atau restoran.

Namun, apa maksudnya jika kucing hadir dalam mimpi kita?

Memetik portal NU Online, isu tafsir mimpi berkaitan kucing pernah dibahaskan oleh cendekiawan Islam, Syeikh Ibnu Sirin dan Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi dalam kitab Mu’jam Tafsirul Ahlam.

Dalam pada itu, Ibnu Sirin juga dikenali sebagai ulama yang handal menafsirkan mimpi.

Baca juga Lelaki sebak kebumikan kucing kesayangan, bolehkah kita bertemu semula dengan binatang peliharaan di akhirat nanti?

kucing mimpi

PERNAHKAH anda bermimpi melihat kucing? Foto: Unsplash

ARTIKEL BERKAITAN:

Misalnya, Ibnu Sirin berkata, kucing yang muncul dalam mimpi boleh diertikan sebagai pembantu yang menjaga seseorang.

Tetapi jika seseorang itu bermimpi melihat kucing mencuri sesuatu, itu boleh jadi petanda buruk kerana ditafsirkan bahawa orang yang rapat atau salah satu ahli keluarga akan merompak atau mencuri harta benda, sebagaimana dijelaskan Ibnu Sirin.

Sebaliknya, mimpi melihat kucing jinak dikatakan mempunyai petanda baik kerana ia menggambarkan perasaan tenang dan bahagia yang anda sedang alami dalam kehidupan ketika itu.

Manakala, mimpi menjual kucing boleh diertikan sebagai harta yang disedekahkan.

kucing mimpi

KATA Ibnu Sirin, mimpi digigit oleh kucing mungkin adalah petanda perkara buruk akan berlaku dalam kehidupan anda. Foto: 123RF

Baca juga Kucing bukan haiwan kesayangan Nabi SAW? Ini sebabnya

Selain itu, Ibnu Sirin berpendapat, mimpi melihat kucing liar boleh ditafsirkan sebagai kesukaran hidup yang memenatkan.

Malah, jika anda dicakar atau digigit kucing dalam mimpi, ia bermakna anda mungkin dikhianati oleh seorang pembantu atau orang suruhan anda. Dalam masa sama, ada juga ulama menafsirkan mimpi sebegitu sebagai sakit kronik atau penyakit yang sudah lama menderita.

Itulah antara beberapa tafsir mimpi berkaitan kucing yang pernah dikemukakan oleh Syeikh Ibnu Sirin.

Pun begitu, diingatkan bahawa ia hanyalah tafsir. Hakikatnya, ALLAH berkuasa penuh dalam menentukan serta mengubah takdir hamba-hamba-NYA.

Sumber: NU Online

Foto: 123RF & Unsplash

lima minit ibu peluk Islam
Aqidah,

Lima minit selepas anak ucap syahadah, ibu turut peluk Islam

Lima minit selepas anak ucap syahadah, ibu turut peluk Islam

SIAPA sangka ketika menemani anaknya untuk ‘masuk Islam’ , seorang wanita mengambil keputusan untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Sebagaimana dipetik daripada sebuah media tempatan, wanita yang memilih nama Nurul Hidayah Kerashnan berusia 53 tahun itu mengucap lafaz suci lima minit selepas menyaksikan pengislaman anaknya, Nur Shazrin Aisyah Abdullah, 20.

Sebelum itu, dia berkunjung ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini untuk menemani Nur Shazrin.

Baca juga Lelaki ini masuk Islam kerana terpesona dengan kehebatan tahajud

lima minit ibu peluk Islam

Saksi anak peluk Islam

Kisah dua beranak itu tular selepas video mereka dikongsi di Facebook (FB) dan TikTok Perkim Kebangsaan serta turut menerima ribuan komen positif serta sokongan orang ramai.

Berdasarkan kenyataan di FB Perkim Kebangsaan, dua beranak itu sanggup berjalan dua kilometer (km) dari rumah mereka di Titiwangsa ke Ibu Pejabat Perkim demi Nur Shazrin Aisyah memeluk Islam.

Gadis itu melafazkan syahadah di hadapan Pegawai Unit Pembangunan Insan dan Operasi Perkim, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dan disaksikan ibu kandungnya.

Tanpa disangka, keindahan dua kalimah syahadah dilafaz anak perempuannya mendorong seorang wanita memeluk Islam dan bersama-sama mendalami agama ALLAH itu.

Baca juga Meninggal selepas 24 jam peluk Islam

GADIS bernama Nur Shazrin itu tidak menyangka bahawa ibunya akan turut memeluk Islam. Foto: Perkim Kebangsaan

Sudah biasa dengan Islam
“Ketika Shazrin atau nama asalnya Sugasini melengkapkan butir pengislaman, lima minit kemudian, ibunya menyatakan hasrat mengikuti jejak anaknya memeluk Islam.

“Selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab diikuti dalam bahasa Inggeris, ibu Shazrin memilih nama Nurul Hidayah Kerashnan kerana ALLAH SWT sudah memberi hidayah menjadi seorang Islam,” tulis hantaran itu.

Berdasarkan perkongsian itu, Nurul Hidayah memaklumkan sudah biasa menyesuaikan diri dalam kehidupan seorang Muslim kerana tiga anaknya sudah memeluk Islam sebelum ini, sekali gus keluarga mereka mempraktikkan aspek halal haram dalam Islam.

Kata Nur Shazrin lagi, “Saya mula kenal Islam ketika berusia 12 tahun selepas berpindah ke sebuah sekolah yang mana ketika itu hanya saya pelajar bukan Islam.”

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

lima minit ibu peluk Islam

SEJAK di bangku sekolah lagi, Nur Shazrin sudah biasa berkawan dengan Muslim dan didedahkan tentang ajaran Islam. Foto: Perkim Kebangsaan

Baca juga Tujuh cara terbaik bantu mualaf

Dapat hidayah
Dia juga pernah mengikuti ceramah di surau sekolah tanpa paksaan dan mengakui menerima hidayah ketika berusia 18 tahun selepas bermimpi seorang wanita memberi salam.

“Saya dapat hidayah (ketika itu) tidur, macam mamai terjaga. Tiba-tiba macam dapat mimpi ada seorang perempuan (berpakaian) putih ketuk pintu, dia bagi salam,” katanya.

Shazrin juga terkejut apabila ibunya meluah hasrat memeluk Islam kerana tidak menyangka wanita itu mahu menukar agama.

Sumber: Harian Metro 

Foto: FB Perkim Kebangsaan

Lima minit selepas anak ucap syahadah, ibu turut peluk Islam

terlindung matahari kiamat
Aqidah,

Inilah 7 golongan yang terlindung daripada terik matahari pada kiamat kelak

Inilah 7 golongan yang terlindung daripada terik matahari pada kiamat kelak

DI dunia sahaja kita sudah mengeluh kepanasan akibat bahang cahaya matahari sehinggakan badan berpeluh-peluh. Walhal kedudukan matahari begitu jauh iaitu ratusan ribu kilometer daripada kita.

Bayangkan apabila kita berada di alam akhirat yang kekal abadi kelak. Pada masa itu, jarak matahari dengan kepala manusia hanyalah sejengkal sahaja.

Baca juga Empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW

Turut disyorkan Tiga tempat ini Rasulullah SAW akan menunggu kita pada hari akhirat nanti

Saat itu, amalan-amalan baik pernah kita lakukan di dunia dahulu lah yang menjadi pembantu untuk kita mendapatkan teduhan daripada terik matahari akhirat.

Malah dalam sebuah hadis Nabi SAW pernah menyatakan bahawa di akhirat kelak terdapat tujuh golongan manusia yang akan mendapat teduhan dan naungan-NYA.

terlindung matahari kiamat

ADAKAH kita termasuk dalam golongan yang bakal menerima perlindungan ALLAH di akhirat kelak. Foto: 123RF & Pexels

ARTIKEL BERKAITAN:

7 golongan dilindungi matahari terik di akhirat

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan ALLAH pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-NYA: (1) Pemimpin yang adil (2) Pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadat kepada ALLAH, (3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, berkumpul dan berpisah kerana ALLAH juga, (5) Seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita kaya dan cantik tetapi dia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada ALLAH’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah pada kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Muttafaq ‘Alaih)

terlindung matahari kiamat

PADA hari kiamat, matahari akan berada sejengkal tepat di atas kepala. Lantas, banyak manusia kehausan dan ada juga yang tenggelam dalam peluhnya. Foto: Pexels

Jika kita tidak termasuk dalam golongan yang mendapat nikmat teduhan itu, ketahuilah keadaan ketika itu sangat genting dan tersangat panas kerana posisi matahari terpacak sejengkal di atas kepala.

Maka, gunalah kehidupan yang ada dengan sebaik-baik untuk meraih naungan ALLAH di akhirat nanti.

Bahkan orang yang paling beruntung adalah mereka yang mengakhiri perjalanan hidupnya di dunia dengan amal soleh kerana ‘bayarannya’ adalah kekal selama-lamanya di dalam syurga.

Sehubungan itu, antara doa dan rayuan yang perlu kita sentiasa diamalkan ialah: “Ya ALLAH jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan jadikanlah sebaik-baik hariku iaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu pada hari kiamat.”

Sumber: Harian Metro

Foto: 123RF & Pexels

Inilah 7 golongan yang terlindung daripada terik matahari pada kiamat kelak