Author

webRNS-Eid-al-Fitr-New-Jersey-Mulsim1-092921
Jendela Dunia,

Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

KAJIAN Program Keadilan Global oleh Institut Othering & Belonging, Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa wanita Islam lebih gemar menyembunyikan identiti agama mereka kerana takut diganggu golongan Islamofobia.

Laporan kajian yang bertajuk ‘Islamofobia melalui Mata Muslim’, dikeluarkan semalam (29 September 2021) dengan mengambil kaji selidik pada tahun lalu daripada 1,123 umat Islam yang tinggal AS.

Tujuan tinjauan itu adalah untuk meminta umat Islam AS menilai kesan yang lain dan diskriminasi dihadapi mereka kerana fahaman Islam yang menjadi pegangan hidup.

Laporan tersebut digambarkan sebagai inovatif kerana menjurus kepada orang-orang yang hidup terkesan akibat Islamofobia untuk didokumentasikan pengalaman kolektif mereka melalui rakaman suara menerusi pernyataan negatif tentang umat Islam.

Penyelidik Program Keadilan Global, Institut Othering & Belonging, Basima Sisemore, berkata tinjauan itu mengangkat suara orang Islam dan menyelami kepelbagaian populasi Muslim AS.

Graf latar belakang kaum dan etnik yang dilakukan kaji selidik.

Kaji selidik dilakukan keatas penduduk AS daripada latar belakang negara asal berbeza seperti Asia Selatan (35.6%); Arab (25.2%); Afrika (8.8%); Eropah (7%); Asia Tengah dan Timur (6.9%); berbilang kaum (1.2%); Latin (1.1%) dan lain-lain (14.2%).

Kajian mengikut kumpulan usia

Mereka juga terdiri daripada pelbagai usia seperti 18 hingga 29 (44.6%), 30 hingga 49 (34.3%); 50 hingga 64 (24%); 65 hingga 74 (25%), dan 75 keatas (10%). Sebilangan besar 90.7 peratus adalah lulusan kolej dan 92.4 peratus mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Menurut laporan itu juga, 83.5 peratus responden bercakap bahasa lain selain bahasa Inggeris di rumah. Sebilangan besar peserta 61.2 peratus dilahirkan di luar negara, sementara 38.8 peratus dilahirkan di AS.

“Peserta diajukan dengan pelbagai pertanyaan, termasuk siapa yang mereka yakin paling berisiko mengalami Islamofobia dan berapa kali mengalaminya. Adakah nilai-nilai Islam dipercayai sesuai dengan rakyat AS.

“Selain itu, berapa kerap individu itu bersosial dengan kumpulan bukan Islam dan bagaimana golongan anti-Islam telah mempengaruhi kesejahteraan mental sehingga pernah cuba untuk menyembunyikan identiti agama Islam.

Wanita adalah kumpulan yang paling berisiko mengalami gangguan Islamofobia.

“Hampir 75 peratus peserta percaya bahawa wanita lebih berisiko mengalami Islamofobia. Tinjauan mendapati 60.6 peratus responden percaya bahawa golongan itu adalah masalah yang sangat besar di AS,” katanya.

Bagi Sisemore, adalah penting untuk mengukur kesan itu, terutamanya kerana hampir semua peserta iaitu 97.8 peratus mengatakan bahawa mereka percaya bahawa Islamofobia wujud di AS.

Pengarah Program Keadilan Global, Elsadig Elsheikh, berkata lebih daripada dua pertiga atau 67.5 peratus secara peribadi mengalami gangguan pembenci agama dan wanita 76.7 peratus lebih cenderung daripada lelaki iaitu sebanyak 58.6 peratus mengalami pertemuan bersemuka dengan pemangsa. Hampir semua responden iaitu 93.7 peratus mengatakan bahawa kekacauan itu mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental mereka.

“Ini mungkin menunjukkan bahawa walaupun seorang Muslim tidak disasarkan secara langsung oleh tindakan Islamofobia, keberadaan golongan itu di media sosial setelah peristiwa 9/11 telah menciptakan perasaan umat Islam seperti diawasi, dinilai atau dipulau,” katanya.

Sumber: Religion News Service

 

 

 

9305fa06-65ca-4731-8d44-edb74e18c129
Isu,

Liberalisme dan Pluralisme: Jangan rosakkan akidah

Pengenalan

Fahaman Liberalisme dan Plularisme telah diwartakan sebagai bahaya oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10 Oktober 2013 (31 Julai 2014).  Ini kerana kedua-dua fahaman tersebut bertentangan dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Antara kandungan fatwa yang diwartakan adalah gesaan terhadap mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme agama hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Sebenarnya, fatwa sedemikian bukan sesuatu yang baharu. Pada Julai 2006, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-74 yang menghimpunkan semua mufti di negeri-negeri juga memutuskan perkara yang sama, iaitu Liberalisme adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Sejauh manakah seriusnya bahaya dan ancaman Liberalisme dan Pluralisme ini?

Lahirnya Liberalisme dan Pluralisme

Liberalisme atau kadang-kadang disebut juga dengan Islam Liberal merujuk kepada suatu fahaman yang menyeru kepada pemahaman dan pengamalan agama secara bebas tanpa terikat dengan pemahaman para ulama Islam terdahulu.

Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa Liberalisme adalah jelmaan Muktazilah zaman moden, manakala Pluralisme pula berpegang kepada prinsip bahawa agama yang benar tidak hanya eksklusif kepada agama Islam sahaja.

Dengan kata lain pendokong Pluralisme berpegang kepada pendirian bahawa bukan sahaja Islam agama yang benar serta memimpin manusia masuk ke syurga, bahkan agama-agama lain juga boleh membawa penganutnya ke syurga dan selamat dari neraka.

Liberalisme agama muncul akibat pertembungan antara mazhab-mazhab dalam agama Kristian yang dimulai dengan gerakan Reformation pimpinan Martin Luther. Liberalisme semakin rancak berkembang seiring dengan gerakan Enlightenment dan Renainsans yang menyeru kepada pembebasan manusia daripada kerangka kuasa gereja yang mengongkong kehidupan masyarakat dalam semua hal.

Liberalisme dalam masyarakat Eropah membuahkan kemajuan yang menyilaukan sebahagian intelektual Muslim. Mereka menyangka dengan melakukan pembaharuan terhadap agama Islam dengan meninggalkan akar tradisi dan keilmuan para ulama silam, umat Islam akan lebih maju sebagaimana masyarakat barat. Manakala Pluralisme adalah salah satu produk yang lahir dari ‘rahim’ Liberalisme.

Sekian lama umat Islam memahami bahawa hanya ajaran Islam yang membimbing manusia ke syurga, kini dipaksa pula umat Islam untuk percaya bahawa Islam adalah salah satu agama yang benar, tanpa menafikan kebenaran agama-agama lain.

Pluralisme agama muncul dan berkembang secara agresif pada abad ke-20 adalah natijah daripada andaian bahawa pertumpahan darah dan permusuhan yang berlaku di dunia adalah disebabkan oleh sikap eksklusif dalam mendakwa kebenaran.

Oleh itu, pemikir barat antaranya John Hick beranggapan bahawa Pluralisme agama adalah satu-satunya jalan keluar bagi menangani sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat beragama. Jadi, di manakah bahayanya kedua-dua fahaman ini?

Sumber imej: Al-Fatih Media Dakwah

Kesan buruk anutan Liberalisme dan Pluralisme

Kedua-duanya iaitu Liberalisme dan Pluralisme tidak sekadar ideologi dan teori yang bersifat intelektual semata-mata, malah mampu mendatangkan bekas dan kesan terhadap tingkah laku para penganutnya.

Kedua-duanya adalah ibarat wabak yang menyerang saraf iman sehingga melumpuhkan keyakinan akidah seseorang Muslim. Sekurang-kurangnya terdapat lima kesan buruk yang sangat berbahaya terhadap akidah muslim.

Pertama: Menghalalkan yang haram

 Pendokong Liberalisme tidak segan silu menghalalkan perkara yang diharamkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran. Pakar rujuk Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, Prof. Musdah Mulia secara terang-terangan menegaskan bahawa perlakuan homoseksual adalah normal kerana naluri tersebut adalah datang daripada Tuhan.

Ironinya, beliau adalah profesor di sebuah Universiti Islam di Indonesia! Agaknya berapa ramai lagi muridnya yang bakal menuruti jejak langkah beliau? Prof. Musdah Mulia dengan beraninya menyatakan bahawa ulama Muslim beraliran sederhana dan progresif menegaskan bahawa tiada alasan dan dalil yang kukuh untuk menolak homoseksual.

Pengharaman homoseksual oleh majoriti para ulama adalah berdasarkan penafsiran yang sempit dan jumud. Seandainya perlakuan homoseksual yang merupakan sekeji-keji kemungkaran dalam Islam dan juga dalam peradaban manusia normal itu dihalalkan, apakah lagi perkara-perkara haram lain yang juga bakal diperakukan halal oleh pendokong Liberalisme?

Kedua: Normalisasi hukum murtad

 Apabila pendokong Pluralisme yang berpegang kepada tanggapan bahawa kebenaran tidak hanya eksklusif kepada agama Islam sahaja, maka sudah pastinya isu murtad dalam kalangan umat Islam tidak lagi dianggap serius. Umat Islam boleh sahaja diberikan hak untuk mencuba agama-agama lain dengan berpandukan kepada kebebasan memilih.

Pendokong Liberalisme secara beraninya menyandarkan dakwaan ini kepada nas al-Quran yang ditafsirkan menurut selera mereka iaitu “Tiada paksaan dalam agama” (surah al-Baqarah: 256). Mereka mendakwa kononnya Islam tidak memaksa penganutnya untuk kekal dalam agama Islam. Padahal ijmak keseluruhan ahli tafsir menegaskan bahawa ayat ini hanya terpkai kepada golongan bukan Islam sahaja.

 Ketiga: Usaha dakwah bakal sia-sia

 Usaha dakwah juga sudah tidak relevan jika Pluralisme ini tertanam dalam minda umat Islam. Apakah kewajaran untuk seseorang penganut agama lain menganut agama Islam seandainya agama yang mereka anuti juga adalah benar dan mampu menjamin keselamatannya di akhirat kelak?

Apa gunanya nabi Muhammad SAW menghantar surat-surat kepada pembesar Rom yang beragama Kristian dan pembesar Parsi yang beragama Majusi kalau tidak kerana mengajak kepada kebenaran agama Islam?

Sandainya kebenaran dan jaminan keselamatan di akhirat juga terdapat dalam agama-agama lain, sudah pastinya para sahabat baginda tidak bersusah payah meninggalkan Makkah dan Madinah yang penuh barakah, demi semata-mata memastikan cahaya Islam bersinar ke seluruh pelosok alam.

Keempat: Meremehkan tihad ulama silam

Sekian lama tokoh-tokoh empat mazhab yang unggul, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Sya’e dan Imam Ahmad menempati kedudukan yang istimewa di hati umat Islam, khususnya golongan cendiakawan dan intelektual.

Pandangan-pandangan dan hasil ijtihad mereka disantuni dengan penuh sopan sekalipun tidak dianggap maksum. Namun, sikap sebegini tidak wujud sama sekali dalam minda penganut Liberalisme.

Walaupun tidak dianggap seumpama kain buruk, pandangan para ulama silam tidak lebih seumpama warisan sejarah yang hanya layak ditempatkan di muzium untuk kenang-kenangan sahaja.

 Penutup

Bahaya Liberalisme dan Pluralisme tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, cendikiawan Muslim Indonesia, Dr. Adian Husaini secara sinis menggambarkan ideologi Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme dengan ungkapan ‘SIPILIS’, iaitu suatu penyakit berbahaya (siflis) akibat daripada perlakuan seksual songsang.

Tambahan, di zaman langit terbuka dan masyarakat banyak menghabiskan masa di rumah melayari media sosial lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anasir-anasir pemikiran songsang sangat mudah menerobos masuk dalam minda umat Islam.

Satu-satunya benteng kukuh bagi mendepani cabaran ini adalah pertahanan ilmu yang diperkuatkan dengan benteng akidah. Jadi, umat Islam wajib mendalami ilmu berkaitan asas-asas agama ditambah dengan ilmu yang memperkenalkan syubhah-syubhah musuh Islam.

Maka, dengan kelengkapan ilmu ini, masyarakat Islam tidak akan mudah dimomokkan dengan ideologi-ideologi sesat yang boleh menghakis keimanan dan merosakkan akidah!

Tafsir Al Quran
Gaya Hidup,

Manfaatkan Kehidupan Ciptaan ALLAH Sebagai Ikhtiar Melawan Musibah

KETIKA dunia kini sedang berhadapan ketakutan akibat pandemik Covid-19 yang telah membunuh jutaan manusia, perubatan moden khususnya penggunaan vaksin bagi melawan wabak antara pilihan yang mampu meredakan perasaan paranoid terhadap ketakutan.

Meskipun pada era kemodenan dengan arus digital yang semakin pesat, pelbagai penyakit masih mampu diubati dengan teknologi yang ada, namun sesetengah masyarakat tidak pernah lupa dan masih mempercayai amalan perubatan Islam yang banyak bergantung dengan kehidupan alam.

ALLAH SWT menjadikan setiap benda yang hidup untuk dimanfaatkan sebagai ikhtiar bagi membantu manusia yang ditimpa musibah, begitupun selebihnya doa harus dipohon untuk mendapatkan keizinan merawatnya daripada Maha Pencipta.

Afigold sebagai penyambung legasi agar generasi baharu tidak melupakan khasiat khazanah alam yang dikurniakan ALLAH SWT.

Ibnu Katsir dalam huraiannya apabila menafsirkan Surah Al-Baqarah Ayat 102, syaitan yang telah memfitnah Nabi ALLAH Sulaiman mengatakan bahawa baginda menggunakan sihir bukan Mukjizat. Meriwayatkan bahawa yang paling bermanfaat dalam menghilangkan pengaruh sihir adalah dengan menggunakan apa yang diturunkan ALLAH SWT kepada RasulNya. Untuk menghilangkan hal itu dengan membaca al-muawwidzatian (al-Falaq dan an-Nas) dan Ayat Kursi kerana ayat-ayat itu dapat mengusir syaitan.

Al Qurtubi menceritakan daripada Wahab untuk mengubati sihir: “Diambil tujuh helai daun bidara ditumbuk halus lalu dicampurkan air dan dibacakan Ayat Kursi lalu diberi minum pada orang yang terkena sihir dengan tiga kali teguk dan baki airnya diguna untuk mandi. Dan diutamakan membaca Qul A’uzubil Falak, Qul A’uzubirabinnas juga ditambah Ayat Kursi kerana ayat-ayat itu dapat mengusir syaitan.” (Tafsir Ibn Katsir Jilid Satu Terjemahan Singkat Halaman 171) dan (Tafsirul QuranilAzim Juz: 1 halaman 372).

Mohd Amin berpengalaman lebih 55 tahun sebagai pengeluar produk perubatan alternatif daripada sumber alam semulajadi.

Pengasas, Persatuan Pengeluar Ubat Tradisional (PURBATAMA), Mohd Amin Khalid,73 berkata telah menjadi amalan bagi pengamal perubatan Islam memanfaatkan segala benda hidup yang dijadikan ALLAH SWT sebagai ikhtiar merawat musibah yang datang.

“Sepanjang 55 tahun terlibat sebagai pengeluar perubatan alternatif tradisional Melayu, hingga kini saya masih menggunakan bahan alam semulajadi ciptaan ALLAH untuk menghasilkan bahan ikhtiar untuk perubatan.

“Saya menjadikan daun bidara sebagai bahan utama kerana khasiatnya seperti mana yang ada tertulis di dalam al-Quran akan manfaatnya dalam kehidupan manusia. Malah ia juga telah diamalkan masyarakat Melayu sejak turun-temurun hingga kini.

“Diceritakan juga pohon bidara atau bahasa Arabnya dipanggil Sidr diketahui ramai sebagai penawar gangguan dengan kaedah mandian menggunakan daunnya. Malah khasiat daun bidara dalam perubatan Melayu lama turut digunakan bagi mengusir jin yang merasuk atau sebab akibat disihir,” katanya yang juga Pengasas dan Pengerusi Afigold.

Rahsia keajaiban pohon bidara anugerah ALLAH SWT.

 

Selain itu, daun bidara juga telah disebut di dalam Surah Al-Waqiah ayat 28 dan Surah As-Saba’ ayat 16.

Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri,”(Al-Waqi’ah (56): 27-29)

Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Bidara.” (As- Saba: 16)

Ahmad Zawawi penyambung legasi lama yang mengikut arus gaya hidup moden.

Pengarah Urusan Afigold, Ahmad Zawawi Mohd Amin, 49, berkata kegunaan daun bidara bukan saja telah terbukti di dalam al-Quran akan manfaatnya, malah secara saintifik juga menyatakan daun bidara memiliki kebaikan untuk kesihatan tubuh.

“Di negara ini kebiasaannya terdapat dua jenis pohon bidara yang biasanya boleh diperolehi seperti pohon bidara jenis berbuah tapi tidak berduri dan pohon bidara berduri dan tidak berbuah. Pohon bidara yang jenis berduri itulah yang biasanya digunakan untuk tujuan merawat atau berubat dan digunakan sejak turun-temurun.

“Mengikut budaya dan kepercayaan amalan masyarakat Melayu lama, daun bidara juga digunakan untuk memandikan jenazah, mandian wanita selepas haid serta banyak lagi kegunaannya dalam kehidupan manusia. Begitupun kita tidak disarankan untuk mempercayai sepenuhnya kerana dibimbangi membawa kepada kepercayaan khurafat. Apa yang boleh kita lakukan adalah ikhtiar memohon doa sepenuhnya kepada ALLAH SWT,” katanya.

Antara jenis-jenis pohon bidara

  1. Bidara upas – Merremia mammosa.
  2. Bidara laut – Strychnos lucida.
  3. Bidara china – Ziziphus jujuba.
  4. Bidara epal atau epal india atau epal vietnam – Ziziphus mauritiana.
  5. Bidara kampung/bidara duri – Ziziphus spina-christi.

Kajian klinikal khasiat Bidara

Daripada kajian-kajian makmal seluruh dunia yang telah dilakukan ke atas setiap bahagian pokok itu, terbukti banyak kebaikan dan penawar (medicinal properties) di dalam daun, buah, biji, kulit sehinggalah ke akar pokok Bidara.

Hasil Kajian Jodhpur National University, Bidara mengandungi;

  1. Antioksidan – flavanoid, phenolic compounds, tannin dan saponin.
  2. Alkaloids (termasuk protopine iaitu anti-histamine semulajadi dan analgesic semulajadi), glycosides, triterpenoids, berberine (anti-kulat semulajadi) .
  3. Vitamin C, B1, B2, B3 (meningkatkan HDL).
  4. Mengandungi Carotene, Kalsium, besi, fosfurus Citric acid, oleic acid, malic acid, oxalic acid, linoleic acid dan lain-lain.

 

 

 

2771111-1116078781
Jendela Dunia,

Masjidil Haram Buka 25 Laluan Baharu

KETUA Umum Urusan Dua Masjid Suci telah membuka 25 laluan baharu di Masjidil Haram untuk memberi keselesaan kepada pengunjung meskipun masih dalam situasi berjaga-jaga akibat kebimbangan jangkitan wabak Covid-19.

Ia dilakukan berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah ke masjid itu setelah mendapat kebenaran kerajaan Arab Saudi bagi aktiviti umrah dan ziarah.

Pembukaan laluan baharu itu dilakukan sekitar kawasan menuju ke tempat tawaf termasuk laluan khas bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai persediaan mengekang daripada jangkitan wabak.

Kawasan solat khas bagi jemaah umrah turut disediakan. Ruang itu dipisahkan dengan jemaah lain yang datang ke masjid tetapi tidak melakukan ibadah umrah.

Kerja-kerja penambahbaikkan SOP di dalam masjid bagi keselesaan jemaah.

Pihak berkuasa Arab Saudi kini masih menumpukan pada kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan di Dua Masjid Suci itu yang bertujuan untuk keselesaan jemaah sepanjang masa.

Selain itu, pengurusan masjid juga telah melatih lebih 600 pekerja wanita bagi membantu jemaah wanita yang berhadapan dengan pelbagai masalah ketika melakukan ibadah.

Daripada jumlah itu, seramai 310 pekerja wanita ditempatkan di bawah Agensi Hal Ehwal Pembangunan Wanita yang diketuai Timbalan Presidennya, Al-Anoud Al-Aboud. Selain 200 pekerja wanita ditugaskan untuk pengurusan Ilmiah, intelektual dan bimbingan wanita, yang diketuai oleh Noura Al-Thuwaibi.

Selebihnya wanita terlatih akan bekerja di Badan Urusan Pentadbiran dan Perkhidmatan Wanita di bawah pimpinan Kamelia Al-Daadi.

Peningkatan jumlah jemaah umrah sejak tahun lalu.

10 juta jemaah selesai laksanakan umrah

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah Saudi telah mengumumkan bahawa 10 juta jemaah telah berjaya menunaikan Umrah sejak 4 Oktober tahun lalu, berikutan pelancaran prosedur “Umrah selamat” dan pengembalian jemaah secara beransur-ansur ke Masjidil Haram.

Ini juga mengungkapkan bahawa lebih 12,000 visa telah dikeluarkan sejak kerajaan itu sekali lagi membuka kemasukkan jemaah dari negara lain sejak 10 Ogos tahun ini.

Kementerian mengatakan akan terus melakukan segala upaya untuk melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah ketika mengunjungi Dua Masjid Agung dan mendesak semua orang untuk mengikuti serta mematuhi langkah pencegahan yang dirancang bagi mencegah penyebaran wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdulfattah bin Sulaiman Mashat, berkata pihaknya mensasarkan seramai 3.5 juta jemaah dapat melaksanakan ibadah umrah setiap bulan atau 70,000 jemaah sehari.

Katanya, jemaah yang telah mendapat vaksinasi penuh adalah syarat utama untuk memberi keizinan kepada mereka mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Permit dikeluarkan melalui aplikasi Tawakkalna. Pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan telah bersetuju dengan penggunaan vaksin untuk semua orang yang berusia 12 tahun ke atas.

Abdulfattah mengatakan bahawa kementerian membuka semula aktiviti umrah dan haji dari negara lain pada 10 Ogos lalu. Jemaah perlu mengikuti semua prosedur yang ditetapkan sebagai syarat untuk kedatangan mereka, termasuk sijil yang diakui telah menerima imunisasi vaksin dan diluluskan oleh negara masing-masing.

Pelawat antarabangsa disarankan untuk mendaftar status vaksinasi mereka di platform Muqeem dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan dari negara asal.

 

Sumber: Arab News

detiklnet
Jendela Dunia,

Saintis Jepun temui rahsia dan akui keajaiban air zamzam

SEJAK ribuan tahun dahulu, dunia Islam terlebih awal mengetahui rahsia dan keajaiban sumber mata air zamzam yang terletak di kota Makkah bersebelahan dengan kaabah di tengah-tengah Masjidilharam.

Malah peristiwa itu yang juga telah diceritakan di dalam al-Quran dan meyakinkan umat Islam bahawa mukjizat yang dikurniakan ALLAH kepada Nabi Ibrahim itu sebagai tanda kebesaranNya.

Kajiannya mendapat pujian seluruh dunia. Gambar: skeptoid Podcast

Saintis Jepun, Dr. Masaru Emoto, 78 telah melakukan kajian luas mengenai air di seluruh dunia sejak muda. Begitupun dia bukanlah seperti seorang penyelidik saintifik lain, tetapi penyelidikannya lebih kepada perspektif pemikir yang asli.

Dr. Masaru Emoto yang dilahirkan di Yokohama, Jepun memiliki latar belakang pendidikan dalam jurusan Sains dan Kemanusiaan di Universiti Perbandaran Yokohama yang menjurus kepada bidang Hubungan Antarabangsa.

Pada tahun 1986 dia menubuhkan IHM Corporation di Tokyo. Pada bulan Oktober 1992, dia mendapat sijil dari Open International University sebagai Doktor Perubatan Alternatif.

Bermula di situlah dia telah memperkenalkan konsep air kluster mikro di Amerika Syarikat (AS) dan Teknologi Analisis Resonans Magnetik dan menemui misteri keajaiban air. Dia juga telah mengkaji pelbagai sumber air di atas muka bumi ini dan menyedari bahawa air dalam bentuk kristal beku menunjukkan kepada kita sifat sebenarnya.

Katanya, komposisi air terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Namun, dia berusaha membuktikan teori kepingan salji yang turun dari langit itu adalah salah. Dia juga melakukan pelbagai penyelidikan dan tidak menemui apa-apa untuk membuktikannya kajiannya itu.

Ilustrasi kedudukan telaga zamzam berada di bawah kaabah. Gambar: Quora

Kemudian beberapa rakan Muslimnya memberitahunya mengenai air zamzam untuk dibuat eksperimen. Dr. Emoto mengambil sampel air zamzam dan mengakui air zamzam memiliki keajaiban sifatnya, kerana ia boleh mendengar, mengamati dan melihat. Dr. Emoto juga telah membongkar rahsia air zamzam dan airnya dipengaruhi oleh ayat al-Quran.

“Kini telah terbukti secara ilmiah bahawa air mudah terpengaruh dengan apa yang dibacakan ke atasnya. Pertama kali saya melakukan eksperimen ke atas air dengan membacanya, molekulnya akan berubah sifatnya yang sangat unik seperti kepingan salji yang jatuh dari langit.

“Satu titik air zamzam dicampur dengan 1,000 titik air suling akan menghasilkan kristal berbentuk unik, dua kristal terbentuk, satu di atas yang lain. Rakan-rakan Muslim saya mengatakan bahawa kedua-dua kristal itu mungkin disebabkan oleh faktor bahawa air zamzam terdiri daripada dua perkataan.

Antara kristal yang terbentuk dari air zamzam. Gambar: detiklnet

“Rakan-rakan Muslim saya juga menawarkan diri untuk merakam bacaan ayat-ayat al-Quran dan diperdengarkan ke atas air, hasilnya saya berjaya mendapat molekul berbentuk  kristal yang paling sempurna pernah saya lihat,” katanya.

Kajiannya mendapat pujian seluruh dunia melalui penyelidikan dan penemuannya yang luar biasa bahawa air sangat berkaitan dengan kesedaran individu dan kolektif kita.

Dr Emoto juga mengatakan bahawa umat Islam disarankan oleh Nabi Muhammad SAW untuk membaca ‘Bismillah’ sebelum meminum air kerana dapat memberi manfaat untuk kesihatan.

“Dengan bacaan Bismillah sebelum minum air akan dapat meningkatkan kualiti dan struktur air biasa. Saya telah melakukan kajian ini selama 15 tahun dan telah menerbitkan sebuah buku lima jilid berjudul ‘Pesan dari Air’. Saya juga menulis dan membuktikan bahawa air mampu berfikir, memahami, merasakan dan menyatakan dirinya,” menurutnya.

Tambahnya, kualiti dan kemurnian air zamzam tidak akan dijumpai di tempat lain di bumi ini. Jika setitik air zamzam dicampurkan dengan 1,000 titik air biasa, air itu akan meningkat dalam kualiti yang serupa dengan air zamzam.

Dr. Emoto adalah pengarang buku popular Messages from Water, The Hidden Messages in Water, dan The True Power of Water. Dia kini merupakan Ketua Institut Penyelidikan Umum I.H.M dan Presiden Emeritus, International Water for Life Foundation.

 

Sumber: Muslim News Online

 

 

103199000_172189350996463_8357880004672966776_n
Personaliti,

Wanita Muslim Bertudung Pertama Dilantik Sebagai Hakim di UK

PENERIMAAN masyarakat terhadap Islam semakin di terima kebanyakan negara di dunia khususnya di negara barat. Agama yang membawa kepada pengertian kehidupan dan keadilan yang sebenarnya telah memberi keyakinan kepada masyarakat amnya.

Begitu juga yang terjadi di United Kingdom (UK) apabila buat kali pertama seorang wanita Muslim yang memakai tudung, Raffia Arshad, 40 dilantik menjadi Hakim mahkamah di negara itu.

Sudah tentu situasi itu akan mendorong lebih ramai wanita Muslim ingin mengejar cita-cita mereka berlandaskan ajaran agama yang menuntut seseorang Islam itu untuk menjaga aurat dan tingkah laku akhlak mereka.

Kejayaan dirinya bukan untuk pencapaian peribadinya.

Raffia Arshad telah menjadi inspirasi ribuan wanita Muslim yang berpendapat bahawa dengan memakai tudung, masyarakat di barat tidak lagi akan memandang serong terhadap wanita Islam apatah lagi dia yang memiliki jawatan yang besar di dalam negara.

Sejak kecil, Raffia sangat berminat untuk menceburi bidang hukum dan memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang dan kini dia telah berjaya mencapai cita-cita itu.

Menurut Raffia yang juga ibu kepada tiga anak, berkata, kejayaannya dilantik sebagai hakim bukan hanya mengenai dirinya semata, tetapi untuk semua wanita khususnya Islam.

“Saya tidak hanya melihatnya sebagai pencapaian peribadi, malah ia lebih besar daripada itu. Saya ingin ingin menjadi inspirasi untuk memimpin wanita Islam berjaya dalam undang-undang.

“Saya dibesarkan di West Yorkshire dan dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam. Di barat kehidupan sebagai seorang Muslim tidak sama dengan negara-negara lain. Kita akan sentiasa berasa bimbang terhadap penerima masyarakat luar yang memandang serong terhadap kita.

“Sentimen perkauman terhadap keluarga Muslim itu biasa dan telah saya lalui sejak kecil apabila memakai tudung ketika pergi ke sekolah.

“Sehinggakan pernah suatu ketika apabila saya ingin pergi menghadiri temuduga untuk mendapatkan biasiswa di Inns of Court School Of Hukum, keluarga menasihati saya agar tidak memakai tudung ketika temuduga itu di buat,” katanya.

Raffia Arshad yang kini menyertai anggota St Mary’s Chambers di Nottingham, menerima surat pelantikannya sebagai hakim pada tahun lalu.

“Pada awalnya saya merasa hampir ingin berputus asa diatas kemampuan diri saya, namun memaksa diri untuk menjadi kuat dan menghabiskan pengajian saya dalam bidang undang-undang. Saya juga sedar, kejayaan saya nanti akan pasti menjadi inspirasi kepada orang lain, tidak kira latar belakang mereka,” katanya.

Raffia turut menasihati golongan wanita Muslim agar jangan bimbang dengan penampilan anda, jangan bimbang tidak sesuai dengan acuan, pecahkan tradisi itu dan capai apa yang anda mahukan dalam hidup.

 

Sumber: BBC/Muslim News Online

webRNS-Hilton-Boycott-Muslim1-092221
Jendela Dunia,

Kumpulan Muslim AS Seru Dunia Boikot Hilton Demi Sebuah Masjid

LEBIH 40 kumpulan Muslim Amerika Syarikat (AS) bergabung bagi menyeru masyarakat Islam agar memboikot kesemua Hotel Hilton. Ia dibuat kerana syarikat itu terlibat dalam projek pembinaan cawangan hotelnya di Xinjiang, China diatas tapak sebuah masjid Uyghur yang dirobohkan baru-baru ini.

Pada sidang media kumpulan itu di luar Capital Hilton di Washington, wakil Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR); Kongres Uyghur Dunia; Projek Hak Asasi Manusia Uyghur dan organisasi lain mengatakan Hilton telah mengabaikan tarikh akhir satu minggu yang telah diberikan oleh CAIR kepada syarikat itu untuk menarik diri daripada projek di Xinjiang sebelum mengambil tindakan untuk boikot.

“Mereka memutuskan untuk mendapatkan keuntungan berbanding nilai kemanusiaan dan tidak tanpa memikirkan hak orang lain yang dirampas,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Selain Amerika Syarikat, beberapa negara lain di seluruh dunia telah melabelkan layanan China terhadap orang Uighur yang juga sebuah kumpulan etnik beragama Islam yang tanah airnya berada di Xinjiang sebagai genosida (pembunuhan beramai-ramai).

Tapak lama sebuah masjid kini sedang dalam prosek pembinaan hotel yang mendapat kecaman daripada umat Islam.

Pada bulan Julai lalu, Suruhanjaya Eksekutif Kongres Amerika Syarikat di China mengeluarkan surat terbuka yang meminta Hilton untuk memberhentikan projek pembinaan itu.

Sebagai penandatangan Compact Global PBB, Hilton seharusnya bertanggungjawab untuk menyokong hak asasi manusia antarabangsa.

“Kami meminta Hilton mengambil langkah menghentikan pembinaan dan mengeluarkan jenamanya daripada projek hotel di Hotan. Hilton juga harus menolak penglibatan dalam penganiayaan terhadap orang Uighur,” kata kenyataan suruhanjaya itu.

Tapak Masjid Duling yang dirobohkan di wilayah Hotan, Xinjiang diubah menjadi pembangunan oleh pemaju China. Salah satu perniagaan baru yang direncanakan adalah hotel Hampton by Hilton, yang dimiliki oleh Hilton Worldwide Holdings Inc.

Menurut analisis gambar satelit dan data lain oleh Institut Dasar Strategik Australia, kira-kira 65 peratus atau 16,000 masjid di wilayah itu telah rosak teruk atau musnah oleh pihak berkuasa China sejak 2017.

Sumber: Religion News Service

Sarung BHS
Gaya Hidup,

Al-Quran Mukjizat Teragung dan Abadi

SEMPENA Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Negeri Wilayah Persekutuan yang diadakan secara maya bermula 20 September dan berakhir semalam, umat Islam disaran untuk sentiasa bersahabat dengan kalam ALLAH itu sebagai rujukan dan ALLAH berjanji akan mengurniakan syafaatnya di akhirat kelak.

Khatib menyampaikan pesanan pada khutbah Jumaat menyeru umat Islam sentiasa berpegang kepada al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Al-Quran adalah topik yang akan disampaikan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bertajuk ‘Kalam Tuhan Menyinari Kehidupan’.

Umat Islam percaya, al-Quran adalah mukjizat teragung dan abadi, ia berperanan memandu manusia ke jalan yang benar dan membebaskan mereka daripada azab api neraka. Al-Quran bukan sahaja menyentuh alam kerohanian dan akhirat, bahkan ia kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi, sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan bumi ini.

Seperti di dalam firman ALLAH SWT di dalam surah al-Isra’, ayat 9 yang bermaksud; “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Menerusi teks yang akan dibaca itu juga, yakinlah bahawa al-Quran merupakan sebahagian perniagaan kita dengan ALLAH SWT yang telah menyediakan modal berupa lembaran kalamnya, lalu kita mengusahakan modal tersebut dengan membaca serta beramal dengannya, nescaya inilah perniagaan yang dijamin tidak akan pernah rugi.

Al-Quran berperanan besar dalam memenuhi aspek-aspek kehidupan manusia. Ia bukan sahaja membina akidah yang sahih, bahkan menyejahterakan minda, membezakan di antara perkara yang hak dan yang batil.

Malah ia juga membentuk dan mencorak kehidupan berlandaskan ilmu serta memandu manusia dalam mengatur serta membina sebuah sistem sosial yang sempurna. Ia bermula dengan pembentukan institusi keluarga sehingga membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.

Peranan al-Quran ini tentunya memberi impak yang besar dalam sistem pengurusan dan tadbir urus kehidupan manusia. Panduan daripada al-Quran sememangnya adalah yang terbaik. Justeru, jadikanlah al-Quran sebagai rujukan utama dan bukan hanya memberi tumpuan dalam pembacaan al-Quran semata-mata tanpa mengambil manfaat daripada segala ajaran, didikan, ilmu dan ‘ibrah melalui pelbagai kisah yang terdapat di dalamnya.

Khatib juga mengajak kita berusaha untuk menjadi sahabat yang baik dengan al-Quran. Tetapkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran setiap hari. Dalam kesibukan melakukan aktiviti harian, sewajarnya kita boleh menyediakan ruang dan waktu yang khusus untuk mentadabbur isi al-Quran.

ALLAH SWT telah mengingatkan kita melalui firmanNya di dalam Surah Muhammad, ayat 24 bermaksud; “Apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima al-Quran)?” Makna tadabbur yang dijelaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir ialah memerhatikan makna-makna ayat al-Quran dan meneliti kandungannya.

“Apabila melakukannya kita dapat menghayati sepenuhnya kandungan al-Quran, bahkan menambah tautan cinta dan rindu berinteraksi dengannya. Al-Quran juga adalah penawar bagi segala penyakit rohani dan jasmani manusia. Ia menjadi pengubat buat jiwa manusia yang sedang dilanda keresahan, kebimbangan dan keluh kesah,” katanya.

Khatib juga menyarankan kepada semua jemaah agar dapat meluangkan masa bersama ahli keluarga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya satu halaman sehari, menghayati maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Kita boleh menggunakan aplikasi moden seperti whatsapp, google meet, zoom dan sebagainya untuk mengumpulkan ahli keluarga yang berada di tempat lain supaya dapat bersama-sama membaca dan bertadarus al-Quran khususnya di waktu malam. Semoga ALLAH SWT akan terus merahmati dan memberkati kita kerana usaha kita melazimi membaca al-Quran dan ia akan memberi syafaat kepada kita di akhirat nanti.

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” Sabda Rasulullah SAW di dalam hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Umamah al-Bahili RA.

Dalam situasi pandemik Covid-19, tidak dinafikan kebanyakan masyarakat kita hari ini dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup, kesempitan dan kesusahan. Justeru, al-Quran adalah penawar yang dapat mententeramkan dan mengharmonikan jiwa insan yang dihimpit pelbagai mehnah dan ujian. Mudah-mudahan dengan keberkatan al-Quran yang selalu kita lazimi ini, ALLAH SWT akan melepaskan kita daripada bahaya wabak pandemik Cocid-19 di bumi ini.

Dan al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.” firman ALLAH SWT dalam surah al- An’am, ayat 155.

114548_20210920T082813Z_474490745_RC2VLP9AQHJS_RTRMADP_3_PALESTINIANSARTISTBALLET_1632231596468
Jendela Dunia,

Balerina Simbol Kekuatan Wanita Islam Gaza

SENIMAN wanita Palestin, Abeer Jebril mengangkat simbol balerina sebagai seorang dalam kesakitan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesulitan kehidupan sosial dan politik wanita Islam Gaza di tengah konflik yang tidak pernah ada kesudahannya.

Menggambarkan keindahan dan keanggunan balerina disatukan dengan warna gelap melankolis dianggap Abeer Jebril sebagai ‘bom berdetik’.

“Saya memilih penari balet adalah kerana melihatnya sebagai ikon kecantikan dan kekuatan. Oleh itu, saya memilihnya untuk menjadi pahlawan karya saya,” kata artis Palestin berusia 35 tahun, yang berasal dari Gaza.

Jebril mendapat inspirasi daripada Edgar Degas, seorang seniman impresionisme Perancis yang terkenal dengan lukisan objek balerina yang sangat cantik.

Balerina digambarkan sebagai simbol penderitaan wanita.

Namun, dalam lukisannya dia menggabungkan keindahan itu dengan kesedihan menerusi sosok tubuh balerina yang dirantai dengan wayar berduri, menari di batu atau menghadap pagar sekatan.

Jebril meluahkan pemahaman seninya berkaitan pengepungan di Gaza yang tidak terhitung banyaknya sehingga tidak merasa bebas berada di tanah air sendiri.

“Balerina adalah sebuah metafora dengan apa yang sedang dilalui oleh wanita Gaza di tengah-tengah pertempuran dan bom di seluruh Palestin. Mereka adalah wanita elegan yang dirantai dengan konflik Israel-Palestin yang tidak pernah berhenti.

“Ia menunjukkan apa yang dirasakan, kehidupan, wajah dan bagaimana wanita itu dirantai agar dunia dapat rasakan apa yang dilalui Gaza kepada masyarakat dunia,” katanya sambil menjelaskan lukisan balerina yang dibuat dengan menggunakan pisau palet.

Lukisannya juga memberi mesej tentang wanita yang menderita kerana kehidupan mereka yang didominasi lelaki sehingga tidak bebas untuk mencari sumber pendapatan sendiri.

A Palestinian Maya Harb takes part in ballet dancing at her home in Gaza City, September 8, 2021. Picture taken September 8, 2021. REUTERS/Mohammed Salem NO RESALES. NO ARCHIVES

Kebanyakkan lukisan Jebril mengambil inspirasi daripada penari balet antarabangsa dan anak perempuannya, Maya, 11 tahun yang sering melakukan latihan tarian balet.

Sehingga kini, hasil karya seni Jebril telah dipamerkan di beberapa galeri negara-negara Eropah dan Arab.

 

Balerina lambang wanita Gaza

Dalam salah satu lukisannya, Jebril melukis seorang penari yang mengenakan sut biru tua, sementara kaki, lengan dan kepalanya dirantai dengan wayar tajam. Dia tidak dapat menari dengan bebas dan menderita akibat kabel yang mengikatnya.

Warna merah di beberapa bahagian tubuhnya mewakili darah dan luka. Dia berdarah ketika dia berjuang untuk mendapatkan kebebasan untuk menari.

Simbol tiada kebebasan di tanah air sendiri.

Lukisan lain menunjukkan pergelangan tangan balerina diikat dengan kain hijau, dengan tanda ‘Dilarang Masuk’. Di depan balerina, potret itu menunjukkan dua sosok tubuh berwarna hijau yang berdiri lebih rendah daripada dirinya, seolah-olah tentera menghalang jalan ballerina.

Biarpun objek tentera itu nampak kecil dan dilihat sengsara berbanding dengan kehebatan dan ketinggian ballerina. Bagi Jebril, gambaran tersebut adalah mengenai sekatan yang menghalang orang Gaza memasuki tempat yang selamat. Menurutnya, tanda ‘Dilarang Masuk’ menunjukkan kenyataan yang dihadapi oleh penduduk Gaza.

Wanita Gaza sentiasa hidup dalam ketakutan.

Selain lukisan menunjukkan seorang wanita dengan kostum balerina mengelak sebutir peluru sambil matanya diikat dengan pita hitam. Wanita itu bertindak balas terhadap serangan kejam dengan pergerakkan yang anggun sebagai seorang ballerina dengan mengubahnya menjadi koreografi balet.

“Lukisan itu mengenai pelarian yang sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga oleh penembak tepat dan serangan dari peluru sesat. Ia juga menunjukkan perjuangan untuk bertahan hidup dengan penutup mata tidak akan kekal lama,” tambahnya lagi.

Menanti hari kebebasan yang tidak pernah ada jawapannya.

Menurut Jebril, dalam karya seni lain, terdapat seorang gadis kecil dengan kostum balerina putih yang menggambarkan dirinya tidak bersalah. Gadis kecil itu menangis sambil melihat runtuhan.

“Warna merah dan oren mewakili api ketika mereka bertemu, sementara warna biru langit dicampur dengan asap hitam seolah-olah lukisan itu memaparkan pemandangan serangan bom atau selepas konflik berlaku,” katanya.

 

Sumber: TRT World

The Conversation
Jendela Dunia,

Perancis Anjur Pameran Seni Islam Di 18 Bandar Bagi Tangani Peningkatan Islamofobia

SELAMA empat bulan bermula 20 November depan, kerajaan Perancis akan mengadakan pembukaan serentak pameran seni Islam di 18 bandar seluruh negara itu sebagai usaha menangani peningkatan golongan Islamofobia.

Yannick Lintz berbangga apabila projek pameran seni Islam itu mendapat reaksi positif daripada Datuk Bandar.

Ketua Jabatan Islam Musee du Louvre, Yannick Lintz, berkata idea itu bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa Islam telah menjadi sebahagian daripada warisan budaya di Perancis sejak Zaman Pertengahan lagi.

“Ia adalah inisiatif baharu yang berani dilancarkan di Paris hari ini. Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Perancis akan mengumumkan pembukaan serentak pada 20 November depan.

“Muzium du Louvre akan meminjamkan sebanyak 60 barangan utama pada pameran itu sepanjang empat bulan ia diadakan. Ia juga akan dipamerkan bersama karya yang diambil dari muzium nasional, tempatan, perpustakaan dan gereja,” katanya.

Menurut Lintz, pameran itu bertujuan untuk membetulkaan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam dan menunjukkan bahawa setiap manusia harus menghormati setiap agama.

“Pada setiap pameran yang diadakan, orang ramai akan dapat menyaksikan video yang akan menelusuri kembali tempat dan monumen bersejarah Islam

“Turut diadakan forum dan perbincangan yang terbuka kepada pelajar termasuk pengunjung lain. Ia akan dijalankan dengan bantuan persatuan dan komuniti agama setempat.

“Kita juga akan mengundang 19 seniman yang terkenal berasal dari Algeria, Iran, Turki dan Mesir, untuk mempamerkan karya mereka.

“Pada masa yang sama, bandar Strasburg di timur Perancis akan mengadakan pameran istimewa mengenai seni Islam menerusi koleksi karya di tempatnya. Kami juga menerima banyak permohonan daripada pihak luar untuk menyertai pameran ini dan mengharapkan kami dapat membuat pilihan yang terbaik,” katanya yang gembira apabila mendapat maklum balas yang baik daripada Datuk Bandar terhadap projek itu.

Tambah Lintz, acara yang diadakan di seluruh negara seperti itu jarang berlaku di Perancis, di mana tempat-tempat kebudayaan tertumpu di ibu kota.

Katanya lagi, idea itu lahir daripada ucapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Oktober tahun lalu di mana ia mengkritik “faksionalisme Islam radikal” dan mengusulkan agar negara mempromosikan ‘pandangan lain’ mengenai budaya Islam.

Rakyat Perancis mengadakan tunjuk perasaan terhadap golongan anti-Islam. Gambar: DW

Selepas siri serangan pengganas di Perancis beberapa tahun lalu, sentimen anti-Islam semakin meningkat di seluruh negara.

Persiapan untuk pemilihan Presiden pada April tahun depan semakin menambah ketegangan. Ramai calon-calon baharu akan bertanding bagi merebut kerusi Presiden. Selain Ahli Politik, Marine Le Pen, muncul calon baharu yang pernah mencetuskan kontroversial iaitu, Eric Zemmour. Dia adalah seorang kolumnis dan penyiar TV kumpulan media Vivendi yang telah disabitkan kesalahan kerana menghasut kebencian kaum terhadap umat Islam.

Pada tahun 2020, Suruhanjaya Perundingan Nasional mengenai Hak Asasi Manusia, serangan rasis secara keseluruhan di Perancis menurun sebanyak 22 peratus tetapi serangan yang dilakukan terhadap masyarakat Islam meningkat lebih daripada 50 peratus.

 

Sumber: The Art Newspaper