Author

Berita Semasa,

Suami sempat tulis lafaz cerai kepada isteri kedua melalui WhatsApp sebelum meninggal dunia

MESKIPUN pertemuan di antara Syazwan Abdillah, 55, dan Khadijah Abu Kasim, 42, (bukan nama sebenar) singkat, mereka memutuskan untuk berkahwin.

Nampaknya, hubungan kedua-duanya cukup bahagia dan kasih sayang semakin bertaut apabila pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata yang comel.

Pun demikian, selepas 20 tahun membina mahligai, rumah tangga Syazwan dan Khadijah dilanda badai.

Itu semua gara-gara kehadiran orang ketiga, Fadilah Mohd yang telah mencuri hati Syazwan. Bapa kepada dua anak tersebut tanpa rasa bersalah bermain cinta dengan janda dua anak.

Episod kecurangan lelaki itu akhirnya sampai ke pengetahuan Khadijah. Walau berkali-kali dipujuk, Syazwan tetap dengan pendiriannya untuk menikahi Fadilah yang 15 tahun lebih muda daripadanya.

Akhirnya, dengan penuh rasa pasrah, Khadijah merelakan keputusan suaminya bagi mengelak lelaki tersebut terus ‘dihurungi‘ maksiat.


Pun demikian, selang beberapa tahun, Syazwan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ketika bergelar suami isteri, Syazwan dan Fadilah tidak memiliki cahaya mata.

Sebelum menutup mata, rupa-rupanya lelaki tersebut sempat menulis mesej di aplikasi Whatsapp mengenai pengakuannya yang telah menceraikan isteri kedua, Fadilah dengan menggunakan lafaz cerai.

Bagaimanapun, wanita itu tidak tahu menahu dirinya diceraikan. Malah, sebaik pemergian Syazwan, Fadilah terus mendaftarkan namanya bersama anak-anak (zuriat bersama bekas suami pertama) sebagai waris sah untuk menerima pencen arwah.

Selang beberapa ketika, hal tersebut menjengah ke telinga Khadijah.

Bagaimanapun, selepas meneliti Whatsapp Allahyarham suaminya, wanita itu mendapati, tiada langsung perkataan cerai yang boleh menjatuhkan talak kepada madunya.

Namun, beliau bukanlah orang yang layak menentukan semuanya. Sehubungan itu, Khadijah mengambil keputusan untuk merujuk ke mahkamah syariah.

Beliau antara lain membuat permohanan agar mahkamah menyekat wang pencen Ali daripada terus diterima oleh Fadilah dan dua anaknya.

BACA KOMENTAR PEGUAM terhadap permasalahan ini dengan klik di sini Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

Foto: Torsten Dettlaff/Pexels

 

Faraid, Iqtisad,

Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Oleh Dr Fatin Afiqah Md Azmi
Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah,
Fakulti Alam Bina dan Ukur,
Universiti Teknologi Malaysia

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak.

Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya.

Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak.

Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

 

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis.

Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat, permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:

i) Hak barangan.
ii) Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
iii) Hak melangsaikan hutang.
iv) Hak melaksanakan wasiat.
v) Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

 

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati.

Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan ketiga: Melangsaikan hutang si mati. Ia perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya dan menjadi kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya.
Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang ALLAH (zakat, kaffarah, nazar, dan fardhu haji) dan hutang sesama manusia (termasuk harta sepencarian).

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati.
Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

Kesimpulannya, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti.

Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.

Foto: Kuncheek/Pexels

Berita Semasa,

Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

MENURUT pendakwah Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, ALLAH SWT sangat membenci hamba-NYA yang bersifat riak.

Mengapa? DIA mengetahui bahawa perbuatan tercela itu akan menyebabkan manusia melupakan-NYA. Ia juga menjadi punca persengketaan sesama manusia sehingga mampu menumpahkan darah jika tidak diatasi sebaik-baiknya.

Disebabkan itulah ALLAH SWT mengutuskan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mempunyai semua sifat terpuji kepada umat akhir zaman,” kata Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Justeru, ujar beliau, seluruh umat Islam disarankan menjauhi sifat riak kerana ia merupakan perbuatan yang amat tidak disenangi oleh ALLAH SWT dan juga Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW berkata: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang yang di dalam hatinya (walaupun sebesar zarah) sifat riak (sombong).” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Amalan Ditolak Jika Riak Beribadah


Merujuk kepada hadis berkenaan, beliau berkata, sifat terkutuk berkenaan jika terus diamalkan boleh mengheret seseorang terus ke neraka.
Selain ditimbuni harta yang melimpah seperti yang disebut oleh pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil, penceramah itu berkata, segelintir individu memilih bersikap sedemikian rupa kerana sentiasa berfikir dirinya sahaja yang betul.

Mereka juga dilihat gemar memperlekehkan kemampuan orang lain kerana baginya, hanya dia yang mampu melakukannya. Golongan itu juga rasa tiada orang yang lebih hebat melainkan dirinya saja dan dia memiliki lebih daripada orang lain. Tidak kurang yang sangat berbangga dengan pangkat dan darjat serta keturunan yang dimiliki,” ujarnya.

Selain riak, manusia juga kata beliau, dicegah daripada berperlakuan sombong selama mana mereka bernafas di muka bumi ini.
Dalam Surah Lukman, ayat 18: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong), dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Sesungguhnya, ikhlas beribadah semata-mata kerana ILAHI dengan sendirinya akan memperkuatkan mental kita daripada menjauhi riak, kata Dr Mohd Izhar.

Justeru, bagi menghindarinya, kita dianjurkan membaca doa ‘Allahumma inni a’udzubika an usyrika bika wa ana a’lamu wa astagfiruka lima la a’lam.’

Ia membawa maksud: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada perbuatan menyekutukan-MU di saat aku mengetahui dan aku mohon ampunan dari riak di saat aku tidak mengetahui.”

Foto: Arifur Rahman/Pexels

Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Riak, menunjuk-nunjuk semata-mata mahu meraih pujian manusia boleh membinasakan iman kita

AWAL Februari lalu, media sosial meledak dengan kewujudan sebuah halaman Facebook yang dinamakan Riak Apa Hari Ini? Seperti menongkah arus, pengendalinya membenarkan setiap pelayar memuat naik segala aktiviti dan gambar.

Selari dengan namanya, kebanyakan foto menunjukkan sisi kekayaan seseorang. Antaranya seperti barang kemas dengan kapsyen yang agak angkuh. Paling dikesali, perbualan di antara lelaki dan perempuan ajnabi berlangsung bebas tanpa batas agama.

Perkembangan itu sangat mengecewakan ramai sehingga agamawan terkenal negara, Asma’ Harun menegur pengendali halaman berkenaan menerusi satu hantaran di platform Facebooknya.

Beliau antara lain berkata: “Mohon pengendali halaman tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan. Jangan indahkan perkataan keji, riak atas nama gurauan.”

Namun, pandangan tersebut seperti dipandang sepi, sedangkan dalam Islam, perilaku riak atau meninggi diri adalah penyakit rohani yang sangat ditegah. Ini kerana hidup dan jiwa seseorang akan penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata.

 

Tidak ikhlas

Sinar Islam Plus kemudian berdiskusi lanjut dengan pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil mengenai sikap mazmumah tersebut.

Ujar beliau, riak merupakan satu sifat yang menyaksikan seseorang melakukan sesuatu perkara kebaikan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk ataupun mahu mendapat pujian orang sekeliling.

Dalam bahasa mudahnya, mereka melakukan ‘kebaikan’ tanpa niat yang ikhlas, sebaliknya hanya mahu mendapat sanjungan dan penghormatan dalam kalangan masyarakat agar diri sentiasa dipandang mulia.
Memperkukuhkan lagi kenyataannya, pendakwah itu kemudian memetik bait-bait kata Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari yang berbunyi: “Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.”

Jelas beliau, sifat berkenaan sangat tidak baik dan boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

“Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengapa segelintir manusia memiliki kecondongan bersikap meninggi diri, Mohamad Amiro Safwan atau Amiro menjelaskan sebab musababnya.

“Banyak faktor yang mendorong mereka suka berbuat demikian. Namun, alasan yang paling ketara adalah disebabkan harta yang melimpah,” ujarnya menoktahkan kata.

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

 

Dalam hal tersebut, Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebut: “Kekayaan yang datang kepada seseorang, boleh mengubah akhlak yang pada awalnya baik menjadi sebaliknya. Jika kamu berjaya mengurus kekayaan dengan jalan yang diajarkan oleh ALLAH SWT, maka kekayaan akan menjadikan kamu lebih dekat kepada-NYA.”

Dalam pada itu, apa perbezaan di antara riak dan takabbur? Kata pendakwah itu, kedua-dua perkataan berkenaan memberi definisi yang berbeza.

Riak terang beliau, lebih menjurus kepada perbuatan iaitu seseorang insan menunjuk-nunjuk, menayang sesuatu yang mahal yang mana kebanyakan orang tidak mampu memilikinya.

Sementara takabbur lebih cenderung kepada perkataan. Kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang akan menggambarkan betapa angkuhnya percakapan yang dibutirkan.

Antara contoh ayat, ‘aku tak solat pun, tapi hati aku baik, suka tolong orang.’ atau ‘tuhan pun tak panah aku dengan petir, kau yang sibuk-sikut ajak aku sembahyang dah kenapa, kuburkan lain-lain.’

“Dalam dunia yang fana ini, pertuturan itu sudah dianggap berlebihan. Apabila tiba pada hari pembalasan kelak, dialah juga orang yang paling sengsara.

Ia tidak akan seseorang melayari syurga ALLAH SWT yang mahal, tetapi menuju ke seburuk-buruk tempat yang penuh kehinaan,” katanya yang mahu umat Islam segera mengubah tingkah laku jelek berkenaan jika sudah terlanjur melakukannya sebelum ini.

 

Tipu daya iblis

Sementara itu, pendakwah Hamizul Abdul Hamid berkata, riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia.

“Ia juga boleh dikategorikan sebagai masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar. Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut. Golongan alim ulama pun cenderung untuk bersifat sebegini jika hatinya terpesong walaupun sesaat,” katanya berterus terang.

Namun begitu, ujar Hamizul, iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

Firman ALLAH dalam Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40: “Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka.”

Melihat kepada ayat suci berkenaan, agamawan berkenaan menjelaskan, menerapkan sifat ikhlas dalam diri adalah wajib.

“Namun, ikhlas mestilah bermula dengan ilmu dan diasah dalam kehidupan sehari-hari,” katanya.

Hamizul yang juga Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah Lembaga Zakat Selangor menambah, kewujudan karakter riak boleh berlaku bergantung kepada keadaan dan kedudukan.

Tidak dinafikan lebih mudah bagi mereka yang diberikan sesuatu kelebihan atau mempunyai kedudukan tertentu untuk terpengaruh dengan sifat riak, katanya.

“Misalnya lelaki yang bersuara sedap, merdu dan lunak, lalu dia diangkat menjadi muazzin masjid. Apabila dia melaungkan azan, maka suaranya yang sedap itu menarik ramai orang dan menjadi buah mulut sehingga ramai orang yang memujinya.

Dari situ, timbul rasa bangga dalam diri sehingga terdetik di dalam hatinya mahu menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki. Akhirnya, setiap kali mahu azan, dia melaungkan azan dengan cara terbaik demi manusia. Inilah yang mencetuskan perasaan riak,” ujarnya.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang dan peluang untuk muazzin tersebut memperbetulkan kembali niatnya.

“Lelaki itu kena segera beristighfar, luruskan kembali niat kerana ALLAH SWT. Kena ingat, amalan yang dibuat kerana manusia, tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA,” ungkap beliau.

Dalam Surah al-Baiyyinah, ayat 5, ALLAH berfirman: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA.”

Melanjutkan bicaranya, Hamizul turut menyentuh kedudukan seseorang yang dipertanggungjawabkan oleh masyarakat untuk menggalas jawatan pemimpin.

“Sebagai individu yang berjawatan, pasti mereka banyak melakukan kebaikan, antaranya membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, membaiki fasiliti awam serta lain-lain perkara lagi. Orang ramai pasti akan memuji tindak-tanduknya.

“Di sini akan terjatuh riak jika mereka gagal menata hati untuk lurus dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Bagi orang yang berilmu sekali pun, hakikatnya mereka tetap boleh berpelakuan riak jika tidak berhati-hati,” kata beliau.

Foto: Karolina Grabowska/Pexels

Berita, Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Inspirasi,

Jurutera di UK cipta tudung PPE mudahkan wanita Muslim bekerja dalam bidang lasak

JIKA di Malaysia tudung sarung bukan satu perkara luar biasa untuk diceritakan atau dijadikan bahan berita, namun senarionya berbeza di sesebuah negara yang bukan didominasi oleh penduduk Islam seperti di United Kingdom (UK).

Seorang jurutera kanan dari Birmingham, Aminah Shafiq (gambar bawah) mencuri tumpuan apabila mereka bentuk tudung PPE (Personal Protective Equipment) yang memudahkan wanita Muslim memakainya ketika berkerja dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan di negara itu.

Saya harap ciptaan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang menceburi bidang lasak seperti ini (kejuruteraan dan pembinaan) yang biasanya melibatkan kerja-kerja operasi,“ katanya kepada BBC News baru-baru ini.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat yang menguruskan air, Severn Trent itu menambah, beliau memperoleh ilham untuk mereka hijab berkenaan ketika UK sedang melaksanakan sekatan pergerakan bagi seluruh penduduknya.

 

“Saya memikirkan tentang dua fakta iaitu bahawa topi keledar biasanya tidak muat untuk kepala saya ketika bekerja, begitu juga dengan material-material lain yang digunakan.

“Justeru, selepas melihat beberapa helai rekaan tudung sukan yang mempunyai aliran udara yang baik dan ‘terletak‘ pada kepala, saya rasakan kriteria itu memenuhi kehendak kami dalam sektor ini,” katanya.

Seorang profesor di Universiti Warwick, Dr Freeha Azmat mengalu-alukan reka bentuk bersepadu tudung ciptaan Aminah.

 

“Biasanya apabila memakai tudung, kita memerlukan banyak pin, tetapi dengan tudung PPE Aminah, ia memberi banyak kelebihan kerana anda tidak perlu risau untuk melaraskan tudung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Nageen Fatima berkata, dengan adanya inovasi baharu tersebut, ia sedikit sebanyak membantu wanita Islam dan tidak mengehadkan mereka lagi untuk terbabit dalam apa jua profesion.-

Foto: Pixabay/Pexels

Kepentingan ketelusan dalam muamalat. Ini inti pati yang perlu diperhalusi
Muamalah,

Kepentingan ketelusan dalam muamalat. Ini inti pati yang perlu diperhalusi

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi. Ia merujuk kepada persetujuan bersama antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati. Tuntutan memenuhi prinsip taradhi dalam muamalat dijelaskan oleh Allah dalam  al-Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”

Memang tidak dinafikan kerelaan hati itu adalah suatu yang tersembunyi dalam hati yang sememangnya hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Namun bagi memastikan kerelaan itu dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu ada tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

Ijab dan qabul inilah yang menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan ada yang ada dalam hati. Malah setiap ijab dan qabul tersebut perlu memenuhi syarat-syaratnya agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma’qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting. Kerana di sinilah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Disebakan itulah dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

“Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada dalam kandang dengan harga RM1500” atau “Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5000” atau “Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1000 sebulan”.

Baca juga Boleh bermuamalat dengan bukan Islam. Ini konsepnya yang perlu kita tahu…

Kesemua bentuk tawaran di atas tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan kerana ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual hendaklah dinyatakan dengan jelas sama ada dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog jika ianya tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta`yin) supaya pembeli mengetahui secara jelas apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan jelas tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka ketelusan dan kejelasan ini mampu membuahkan kerelaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Ketelusan ini sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay` murabahah yang menggunakan mekanisma tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di Malaysia, kebanyakan transaksi murabahah komoditi  menggunakan platform Bursa Suq al-Sila’. Bay` murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah di mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil.

Ketelusan dalam aspek ini jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain daripada itu, ketelusan juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya  menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah ini memang diambil berat dalam industri kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Foto: Pexels

 

 

 

Berita, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Memang wujud unsur mistik dalam sesuatu penyakit. Semak dulu pusat perubatan Islam yang ingin dikunjungi

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF),
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor 

KECENDERUNGAN masyarakat Melayu yang mengaitkan penyakit yang dihidapi dengan unsur-unsur mistik bukanlah satu perkara baharu lagi.

Meskipun teknologi perubatan semakin bercambah, punca kepada beberapa krisis kesihatan kadangkala tidak dapat dikenal pasti melalui diagnosis. Secara fizikalnya seseorang dilihat sihat, namun sebenarnya mereka sedang menanggung kesakitan.

Dalam situasi begitulah, kewujudan elemen mistik atau alam ghaib dalam sesuatu penyakit wajib diyakini kerana tidak mustahil wujudnya ‘campur tangan’ unsur-unsur lain yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut.

Jika dulu, bomoh dijadikan rujukan, namun kini ramai lebih selesa merujuk agamawan. Terdapat juga yang memilih berkunjung ke pusat pengubatan Islam yang lazimnya mendakwa mereka mempraktikkan rawatan yang berpandukan al-Quran dan sunnah.

Namun, ada sebilangan pengusaha menggunakan topeng agama demi meraih keuntungan. Adakalanya, bayaran yang dikenakan tidak munasabah, tetapi penyakit tetap jua tidak sembuh.

Sehubungan itu, sebelum berkunjung ke mana-mana pusat pengubatan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya seperti latar belakang premis, bacaan, kaedah dan cara rawatan. Jika ada kriteria yang meragukan, maka haram bagi umat Islam mendapatkan khidmat mereka.

Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh dan boleh dipercayai ialah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa‘) yang diasaskan oleh arwah Datuk Dr Haron Din.Pendekatan mereka bersumberkan al-Quran dan hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.

Baca juga Ubati Kemurungan Dengan Pendekatan Anjuran Agama

Bersandarkan kepada ALLAH

Kepada semua pembaca, ilmu pengubatan Islam merupakan salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad al-Salafussoleh.

Prinsip asasnya adalah meletakkan sepenuhnya kuasa penyembuhan hanya kepada ALLAH SWT. Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa-NYA YANG MAHA MENYEMBUHKAN disusuli dengan usaha hasil kombinasi beberapa kaedah rawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba termasuk bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan.

Seperkara, konsep pengubatan Islam juga sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit, sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani. Namun, masyarakat awam dilihat lebih cenderung menggunakan kaedah tersebut jika berdepan dengan masalah berkaitan mistik dan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin dan santau.

Sesungguhnya, al-Quran dan al-Hadis ialah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.“ (Surah al-Isra‘, ayat 82).

ALLAH juga menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-NYA jika ditimpa sakit. Firman-NYA yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Seterusnya, dalam Surah al-Syu‘ara‘, ayat 80, ALLAH berfirman: “Dan apabila aku sakit, maka DIALAH yang menyembuhkan penyakitku.“
Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh para Anbiya‘ dalam memohon kesembuhan daripada ALLAH ialah Nabi Ayub. ALLAH mengarahkan baginda menghentakkan kaki dan terpancar keluar air dari dalam tanah.

Maka, air itu digunakan oleh Nabi Ayub untuk minum dan mandi sehingga penyakit baginda sembuh dengan izin-NYA. Jelas di sini, air merupakan antara medium terbaik dalam menyembuhkan penyakit. Justeru, tidak hairanlah apabila gabungan doa dan air digunakan secara meluas dalam kalangan perawat pengubatan Islam.

Hakikatnya setiap penyakit itu datang daripada ALLAH SWT dan DIA juga yang menyediakan penawar bagi penyakit tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA yang bermaksud: “Berubatlah kalian wahai hamba-hamba ALLAH, kerana ALLAH SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, kecuali satu penyakit sahaja iaitu tua.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis baginda yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud: “Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sebagai manusia yang menyedari betapa lemahnya diri berbanding Allah yang Maha Berkuasa, maka jangan sesekali kita berputus asa daripada mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi.

Sekiranya telah berusaha, namun masih belum pulih, kita harus bersabar. Barangkali penyakit yang dideritai adalah ujian yang dapat mengukuh dan memantapkan keimanan kepada-NYA. Mungkin juga ia disebabkan bala atau musibah. Jika berada dalam situasi itu, sewajarnya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada-NYA.

Hakikatnya, rawatan pengubatan Islam merupakan alternatif terbaik kepada umat Islam untuk menyembuhkan penyakit yang bersifat jasmani dan rohani.

Paling penting, rawatan yang diterima harus menepati syariat Islam dan menyandarkan kesembuhan 100 peratus kepada kekuasaan dan keizinan-NYA.

Penubuhan pusat rawatan Islam yang terlalu banyak dewasa ini juga harus dikawal oleh pihak berkuasa agama. Ia penting agar rawatan cara berkenaan tidak sewenang-wenangnya disalah guna dan diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Polina Tankilevitch/Pexels

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh
Inspirasi,

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh. Sesungguhnya, kasih ibu sampai ke syurga

PENGORBANAN wali ALLAH yang dikenali seluruh penduduk langit, Uwais al-Qarni dalam menyantuni ibunya harus menjadi ikutan setiap insan bergelar anak, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Amiruddin Mohd Sobali.

Ujarnya, Uwais ialah seorang anak yatim yang hidup bersama ibunya yang lumpuh. Dalam satu riwayat, mengatakan ibunya buta. Sebagai anak, beliau menggalas setiap tanggungjawab dengan penuh ketaatan.

Pun demikian, terdapat satu permintaan ibunya yang agak berat untuk direalisasikan beliau. Wanita uzur tersebut mahu menunaikan haji, sedangkan hal itu sangat sukar dilakukan kerana mereka serba kekurangan.

Namun, Uwais tidak mengecewakan ibunya. Cuba kita letakkan diri di tempat Uwais yang sanggup berkorban dengan berlatih mengendong lembu di atas belakangnya. Saya pasti pengorbanan itu termasuk dari aspek tenaga, masa dan wang ringgit sukar untuk dilakukan oleh seseorang,“ katanya.

Amiruddin kemudian memetik Hadis Riwayat Imam Ahmad. Seorang sahabat bertanyakan baginda siapakah yang patut dilebihkan baktinya? Kemudian baginda menjawab, ibulah yang perlu diutamakan.

“Jawapan itu diulang sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan berbakti kepada bapa. Sesungguhnya, mendahulukan ibu berbanding ayah adalah satu kewajipan dalam Islam. Setiap kewajipan yang dilaksanakan pula amat disukai oleh ILAHI.

“Kecintaan ALLAH SWT akan menarik rahmat-NYA terhadap anak yang mendahulukan ibu. Antara rahmat-NYA adalah dikabulkan doa seperti mana yang berlaku ke atas diri Uwais sehingga Rasulullah SAW memerintahkan Umar al-Khattab RA mencari beliau,“ jelasnya.

Baca juga Anak derhaka tidak akan pernah cium bau syurga. Itu jaminan ALLAH kepada si Tanggang moden

Menyambung kisah Uwais, sebaik pemuda berhati mulia dan ibunya sampai di hadapan Kaabah, beliau terus berdoa memohon ALLAH SWT mengampunkan segala dosa-dosa ibu dan tiada langsung doa untuk dirinya sendiri.

Wanita itu bertanya kepada anaknya, kenapa tidak berdoa untuk diri sendiri? Jawab Uwais, beliau mengharapkan reda ALLAH SWT. Lihat, betapa Uwais berusaha sedaya mungkin untuk tidak mencalarkan hati ibunya.

“Menyakiti hati dan perasaan ibu bapa sudah dikira berdosa besar, maka menyakiti mereka secara fizikal jauh lebih besar. Perkara ini wajib diketahui oleh setiap Muslim jika mahu hidup sentiasa dilimpahi keberkatan dan kebaikan daripada ALLAH SWT,“ katanya.

Foto: kalam.sindonews.com

Berita, Muamalah,

Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Oleh MUHAMMAD NAZREEN ADNAN
Bahagian Dakwah Am,
Zakat Pulau Pinang, MAINPP

PADA zaman serba canggih kini, masyarakat dapat menggapai informasi dengan cepat sama ada melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, mahupun YouTube.

Melalui capaian itu semua, pelbagai ilmu dapat diperoleh termasuk berkaitan dengan zakat.

Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu tentang zakat? Menurut Profesor Dr Mustafa al-Bugha dalam Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat sebagai kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat yang digariskan.


Seperti yang kita maklum, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah sahaja, sebaliknya ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian.

Antaranya ialah zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.

Sembilan pembahagian zakat harta itu bukanlah diwajibkan secara mutlak untuk dilaksanakan, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat, maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.

Tujuan

Alhamdulillah, pada tahun ini, ramai dalam kalangan umat Islam mulai sedar tentang peri pentingnya kewajipan berzakat.
Saban tahun, hampir semua institusi zakat di Malaysia menunjukkan trend prestasi kutipan yang sentiasa meningkat, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negara ini.

Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing.

Namun, sejauhmana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah itu tujuan utamanya?

Persoalan berkenaan telah pun dijawab oleh ALLAH YANG MAHA ESA sejak sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya.

Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat ke-103: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.”

Daripada ayat tersebut, ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.

Pada zaman yang penuh mehnah (cabaran), kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat merupakan ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

Sesungguhnya, harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan atau dicuci. Maka, ia akan kotor, berbau dan tentunya wujud virus yang akhirnya membawa penyakit kepada pemakainya.

Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki.

Pun demikian, apabila seseorang berzakat, pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan daripada-NYA yang ironinya akan memberi kesan positif dan cahaya dalam kehidupan sehari-hari.

Cara

Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

Misalnya, bagi umat Islam di Pulau Pinang, mereka boleh melakukan ibadah itu di Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).


Terdapat lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri ini iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.

Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat termasuk kaunter permohonan zakat.
Bagi memudahkan orang ramai pada era pandemik ini, menunaikan ibadah zakat telah dipermudahkan, lebih cepat dan selamat. Segalanya boleh dilakukan secara online melalui portal https://zakatpenang2u.com.

Kesimpulannya, sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan ‘kotoran’, keluarkanlah zakat. Marilah sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Karolina Grabowska/Pexels

Berita Semasa, Panduan,

Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

Oleh DR AZRI BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

JAWATAN tertentu yang kita sandang, sebenarnya bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan. Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi dan kerja keras.

Istilah kepimpinan membawa definisi yang luas. Menurut tokoh Islam dalam bidang sains politik, al-Mawardi, ia (kepimpinan) merupakan tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia.


Sementara ahli sosiologi, Ibn Khaldun pula berkata, kepimpinan adalah membawa seluruh manusia supaya berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan apabila berada di alam yang kekal abadi nanti.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, Islam menjelaskan bahawa setiap manusia sama ada lelaki atau wanita ialah seorang pemimpin. Setiap orang ialah pemimpin terhadap dirinya sendiri atau kepada rakyat.

Susun strategi

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, seseorang perlulah merancang dan menyusun strategi dengan penuh rapi bagi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat.

Islam telah pun menggariskan pelbagai tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang baik untuk diterap dan diaplikasikan demi mewujudkan sebuah negara yang mapan, dinamik dan sentosa. Antaranya:

1. Memelihara dan memartabatkan agama.
Berusaha mempertahankan kesucian Islam daripada segala bentuk kesesatan, bidaah, penyelewengan dan ideologi yang bercanggah dengan agama suci ini.

Selain itu, seorang pemimpin wajib menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang merosakkan imej Islam dengan menggunakan kaedah atau pendekatan yang bersesuaian seperti penerangan, mengemukakan hujah, keterangan dan sehinggalah kepada tindakan undang-undang.

Sewajarnya, seorang pemimpin haruslah menjadi teladan yang baik dengan mempraktikkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya tidak mengamalkan kebenaran, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi.

ALLAH SWT berfirman: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri?“ (Surah al-Baqarah, ayat 44)

2. Menjaga keselamatan rakyat daripada anasir negatif dan pencerobohan pihak luar.
Hal tersebut dapat dilakukan dengan menyediakan benteng pertahanan yang kukuh dan kekuatan ketenteraan yang mantap.

3. Menjamin keamanan dalam negara dengan melaksanakan undang-undang yang ditetapkan oleh syarak dan berlaku adil.
Pemimpin perlu memastikan pelantikan para hakim yang berkelayakan untuk memikul tugas supaya keadilan dapat ditegakkan, sekali gus menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

4. Menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan dengan bijaksana serta berhemah melalui saluran yang betul.
Pemimpin perlu memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan proses pengadilan tidak dizalimi.

5. Menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.
Kepimpinan melalui kementerian, jabatan dan sektor lain perlu menyiapkan kemudahan asas kepada rakyat mengikut bidang kerja masing-masing seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, perdagangan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan sebagainya.

Baca juga Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Ia adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah menyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu ‘polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.‘

Kesimpulannya, kepimpinan dalam konteks Islam merangkumi pelbagai aspek. Antaranya mereka perlu membina dan membangun insan yang sejahtera yang memiliki jiwa, akhlak dan rohani yang murni, bersaudara serta bantu membantu dalam melakukan apa juga kebaikan.

Seorang pemimpin atau ketua juga mesti bersama-sama berganding bahu dalam mencegah kemungkaran; mempertahankan nilai; kesucian dan kehormatan diri; menegakkan keadilan dan kebenaran; menolak kerosakan serta kebatilan.

Demikianlah peranan dan amanah yang perlu digalas demi menyemai kesejahteraan dan kebaikan di sebuah negara. Wallahu’alam.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Andrea Piacquadio/Pexels