RUKUN iman yang kelima adalah beriman dengan hari kiamat. Sebagai umat Islam, kita wajib meyakini akan tibanya hari yang dahsyat ini.
Persoalan yang paling penting ialah apakah persedian kita bagi menghadapi hari kiamat?
Ini kerana ramai dalam kalangan umat Islam hari ini yang sibuk dengan tanda-tanda hari kiamat tetapi mereka lupa perkara paling penting adalah persediaannya.
Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah di halaman Facebooknya berkongsi mengenai bentuk amalan yang perlu disiapkan dalam menghadapi hari yang sangat dahsyat.
Dua bentuk amalan persediaan tesebut adalah;
1. Pertingkatkan amal ibadah
Sentiasa mempertingkatkan amal ibadah dan memperbaikinya. Ini kerana persediaan yang perlu kita hadapi pada waktu itu bukan dengan wang ringgit tetapi keimanan kepada ALLAH.
Sabda Baginda Rasulullah SAW “Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada ALLAH SWT (bahawa ALLAH akan mengampuninya)” (Hadis Riwayat Tirmizi)
2. Bertaubat sebelum terlambat
Bersegera bertaubat kepada ALLAH sebelum terlambat. Taubat ialah kembali kepada ALLAH daripada dosa, kembali kepada ALLAH sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.
Tanda-tanda kecil hari kiamat sudah terlalu banyak di hadapan kita tetapi disebabkan keselesaan yang ada pada hari ini menyebabkan kita buta bahawa kehidupan yang hakiki ialah kehidupan selepas kematian.
Oleh yang demikian, sebelum tibanya hari yang dijanjikan ALLAH kepada, maka kembalilah kepada-NYA agar kita tidak menyesali dengan segala perbuatan yang dilakukan.
Fitnah Dajjal
Ustaz Hakim Mohd Nor, Pengerusi di Akademi Jiwa Hamba, melalui laman Facebooknya berkongsi mengenai beberapa perkara yang akan berlaku dan perlu diberi perhatian, seterusnya sebagai persiapan kepada umat di akhir zaman ini.
Antara peristiwa penting di akhir zaman yang wajib kita imani ialah akan turunnya semula Nabi Isa Alaihi Salam.
Turunnya Nabi Isa antara lainnya adalah untuk membunuh seorang makhluk yang membawa kejahatan dan kerosakan (fitnah) terbesar di akhir zaman, iaitu al Masih Dajjal.
Maka, kita percaya Dajjal akan muncul dan melakukan penipuan demi penipuan. Hinggalah manusia rosak akidahnya, Kemuncak kerosakan apabila manusia mengaku Dajjal sebagai Tuhan.
Petunjuk berkaitan Kebun Kurma Baisan, Air Mata Zughar, Tasik Galelei, dan beberapa lagi petunjuk lain sudah semakin jelas berlaku.
Baca juga Bila padang pasir mulai subur, tanda kiamat semakin dekat?
Senjata paling ampuh untuk hadapi Dajjal ini adalah dengan persiapkan diri kita dengan menghafaz dan mengamalkan 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir surah Al Kahfi.
Ternyata, hanya dengan mukjizat al Quran dapat melindungi diri kita daripada fitnah terbesar ini.
Harus diberi perhatian, Semua Nabi tidak pernah tertinggal mengingatkan umatnya akan bahaya Dajjal.
Begitulah juga Nabi Muhammad SAW, memperingatkan umatnya sehingga dijelaskan begitu besarnya ancaman fitnah dan bahaya makhluk ini.