TULAR sebuah video di Twitter mengenai seorang penyihir atau ahli sihir Rusia, Zhanna Kushnir menceritakan pengalamannya dalam sebuah wawancara yang mengakui dirinya sukar untuk menyihir Muslim yang menjaga solat.
Dalam video berkenaan, dia menceritakan bahawa amat sukar untuk mempengaruhi Muslim berbanding penganut agama lain kerana bagi Kushnir, umat Islam sentiasa menunaikan solat wajib setiap hari.
“Mereka (Muslim) sentiasa berada dalam sejenis ‘kubah pelindung’ dan sangat sukar untuk menyusup masuk (melalui sihir) ke dalam diri mereka. Ini kerana umat Islam sentiasa menghadap ALLAH SWT dalam solat,” katanya.
Mengulas lanjut, Kushnir berkata, ritual doa bukan satu gangguan seperti penganut Kristian yang hanya datang ke gereja ketika hidup mereka ditimpa kesusahan.
Hal ini, menurutnya, berbeza dengan orang Islam yang beriman dan mempunyai hubungan yang utuh dengan ALLAH SWT.
“‘Pelindung’ mereka (orang Islam) ialah ALLAH SWT yang melindungi mereka yang menyembahnya.
“ALLAH SWT sangat melindungi. Jadi, menyerang seorang Muslim yang taat apabila dia berpegang kepada agamanya adalah sangat sukar,” akui Kushnir.
Mohon perlindungan ALLAH bagi mengelak sihir
Menurut Wikipedia, sihir merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang disihir secara tersembunyi (ghaib) yang melibatkan makhluk halus, dan dilakukan di luar hukum alam bagi mencapai tujuan tertentu.
Contohnya menyakiti seseorang, mengubati penyakit dan juga meramal masa hadapan. Penggunaan istilah sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.
Justeru Islam melarang keras penganutnya mengamalkan sihir, kerana ia mengingkari hukum ALLAH dan boleh jatuh kepada kesyirikan.
Seperti yang diketahui syirik merupakan dosa yang sangat besar sehingga boleh menghapuskan segala amal kebaikan.
Dalam Islam, khususnya terkandung dalam kitab suci al-Quran kaedah bagi mengelakkan sihir, salah satu caranya adalah memohon perlindungan kepada ALLAH SWT dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Umat Islam hendaklah yakin sebagaimana ALLAH SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 82 yang bermaksud: “Dan KAMI turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”.
Firman ALLAH lagi yang bermaksud “Bahawa sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-NYA dan ALLAH akan mengampunkan kepada sesiapa yang DIA kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barangsiapa yang mempersekutukan ALLAH, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)
Baca juga 11 tanda anda diganggu makhluk halus, berikut pencerahan oleh pakar perubatan Islam.
Terdapat banyak kisah yang diceritakan di dalam al-Quran mengenai kisah sihir ini antaranya kisah Nabi Musa AS dikurniakan mukjizat untuk menentang tukang-tukang sihir yang bekerja untuk Firaun semasa zaman baginda, sebagaimana dikisahkan dalam Surah Taha, ayat 63-69.
Juga kisah mengenai takhta Ratu Balqis semasa zaman Nabi Sulaiman yang dapat dipindahkan menggunakan sihir dengan sekelip mata oleh sejenis jin seperti yang diceritakan dalam Surah An-Naml, ayat 38-42.