“Mengapa nasib malang masih menimpa walaupun sudah menjaga amalan baik?” – kata hati yang berputus asa dengan rahmat ALLAH
APABILA ceritera kehidupan diri yang dilanda badai ujian dan kesakitan dibongkar, ia pasti akan dikaitkan dengan nasib buruk menimpa sehingga menyalahkan takdir atas segalanya.
“Walaupun dah menjaga amalan dan berlaku baik, tapi mengapa nasib malang masih menimpa saya? Tak habis satu, datang lagi petaka lain.”
Demikian antara persoalan yang kadangkala meniti pada bibir segelintir orang tatkala diri diuji sedemikian rupa. Bukan mahu bersungut, mahupun mengeluh, tetapi sekadar mahu merawat hati yang sedikit walang.
Menjawab tanda tanya tersebut, Pegawai Pejabat Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Johor, Ustaz Fuad Osman berkongsi tiga perkara yang perlu kita tahu mengapa ALLAH menghadirkan ujian walaupun sudah melakukan pelbagai amal kebaikan.
Jelas beliau, perkara pertama yang perlu diketahui adalah setiap manusia ada takdirnya dan di sebaliknya itu terselit hikmah serta ganjarannya. Walaupun Nabi Muhammad SAW seorang kekasih ALLAH, namun Baginda tetap kena sihir kerana itu takdirnya.
“Hikmahnya sangat banyak. Yang penting Baginda tahu takdir itulah menjadikannya sedar bahawa dirinya adalah seorang hamba.
“Kedua, apa jua yang menimpa setelah menjaga amal dan berbuat baik itu adalah sebagai membersihkan jiwa. Ia seperti emas yang dileburkan semata-mata membuang kerak dan kotorannya,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Seperkara lagi, pendakwah itu menitipkan pesanan, walaupun rasa sedih dan terkilan hadir dalam diri, namun janganlah pula kita merajuk dengan ALLAH.
“Kalau merajuk sekalipun, jangan lama-lama. ALLAH sengaja memberi sentuhan kasih dalam takdir kasarnya.
“Hati yang pasrah adalah lebih baik daripada bergunung-gunung amalan. Ini kerana amalan hanya membawa insan ke syurga, tapi hati yang reda dan pasrah akan pergi kepada pemilik hakikinya iaitu Sang Pencipta,” ungkapnya.
Bersangka baik dengan ALLAH
Ketahuilah bahawa sebuah ujian yang diturunkan itu merupakan sebagai bukti bahawa ALLAH SWT menyayangi hamba-NYA.
Demikan fakta yang dilontarkan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.
BACA JUGA Ketahui 4 perkara yang patut dielakkan ketika berniaga menurut Islam
Dalam sebuah hadis qudsi, jelas beliau, Rasulullah menyampaikan dialog daripada ALLAH bahawa DIA sentiasa bersama dengan sangkaan hamba-NYA. Sekiranya hamba-NYA sentiasa bersikap positif dan bersangka baik, maka ALLAH akan mengurniakan kebaikan.
“Menurut al-Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan bersangka baik dengan ALLAH ialah seorang hamba itu hendaklah sentiasa berfikiran positif dengan berharap agar ALLAH akan sentiasa merahmatinya dan mengampunkannya. Dengan itu ALLAH akan sentiasa merahmati kita. (Sharh Muslim)
“Atas dasar itu Saidina Abdullah bin Mas’ud menjelaskan bahawa tidak ada seorang hamba yang bersangka baik dengan ALLAH melainkan ALLAH akan memberikan kebaikan kepada hamba tersebut kerana segalanya adalah di bawah kekuasaan-NYA.
BACA JUGA Cerita masalah peribadi secara terbuka di media sosial, ini hukum yang perlu diketahui
“Sebagai hamba, kita hendaklah sentiasa bersikap postif dan yakin bahawa segala kesulitan dan kesusahan boleh dipermudahkan oleh ALLAH. Segala dosa yang dilakukan masih ada ruang keampunan dan rahmat dari-NYA,” jelas beliau di laman media sosial miliknya.
Justeru, bersabarlah atas setiap liku-liku kehidupan yang dihadapi. Mengertilah dunia ini merupakan pentas ujian yang singkat. Barangkali ALLAH SWT mahu mengangkat darjat kita di sisi-NYA dengan kesabaran kita melalui semua imtihan tersebut.