Lelaki sebak kebumikan kucing kesayangan, bolehkah kita bertemu semula dengan binatang peliharaan di akhirat nanti?
BAGI mana-mana pencinta haiwan, kematian bintang peliharaan boleh diibaratkan seperti suatu mimpi buruk.
Kesedihan yang dilalui sukar digambarkan dengan kata-kata. Namun itulah nasib yang menimpa seorang bapa apabila kucing kesayangannya ‘pergi’ buat selama-lamanya.
Momen lelaki berkenaan gagal menahan sebak ketika mengebumikan bangkai kucingnya yang bernama Louis dikongsikan pengguna TikTok Mattop_55.
“Kucing kesayangan abah mati. Abah banyak kali minta maaf sambil kebumi Louis,” tulis individu itu dalam video memperlihatkan bapanya berkali-kali mengesat air mata.
Detik sedemikian pasti pernah dirasai oleh para pencinta haiwan yang memelihara binatang. Malah, ada sebahagian yang mengharapkan agar ditemukan kembali bersama makhluk kesayangannya mereka di akhirat nanti.
Namun, benarkah seseorang itu boleh bertemu dengan haiwan peliharaannya di akhirat kelak?
ARTIKEL BERKAITAN:
- ‘Lelaki kucing Aleppo’, adiwira menyelamatkan lebih 40 ekor kucing selepas tragedi gempa bumi Turkiye-Syria
- Haram Makan Daging Korban Kerana Kasihan Pada Haiwan Yang Disembelih?
- Kucing bukan haiwan kesayangan Nabi SAW? Ini sebabnya
Keadaan haiwan di akhirat
Kata pihak Mufti Wilayah Persekutuan dalam sebuah artikel, sebenarnya keadaan haiwan di akhirat nanti tidak akan serupa dengan manusia.
Dalam erti kata lain, haiwan tidak akan dihitung dari sudut amal kebaikan, apatah lagi dimasukkan ke dalam syurga-syurga ALLAH seperti umat manusia. Sebaliknya, makhluk tersebut akan menjadi debu tanah pada hari akhirat kelak.
Minta dipertemukan di syurga
Walaupun begitu, sebagaimana yang kita ketahui, para penghuni syurga dijanjikan banyak kebaikan dan nikmat ketika di sana.
Firman ALLAH SWT, “Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat).” (Surah Qaf, ayat 35)
Saat seseorang itu berada di syurga nanti, segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari ALLAH SWT buat dirinya.
Lantas tidak ada yang mustahil bagi-NYA termasuklah menghadirkan semula haiwan peliharaan kesayangan kita di akhirat kelak.
Baca juga Makanan digigit kucing, boleh dimakan atau perlu dibuang?
Baca juga Konsisten buat 4 amalan ‘simple’ ini, insya-ALLAH dijamin syurga
Berusaha dapatkan syurga
Oleh itu, pihak Mufti memberi peringatan agar setiap manusia berusaha sedaya-upaya meraih syurga ALLAH dengan memperbanyakkan amalan soleh di dunia.
Selain itu, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan turut termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & mstar
Foto: 123RF, TikTok & Unsplash
Lelaki sebak kebumikan kucing kesayangan, bolehkah kita bertemu semula dengan binatang peliharaan di akhirat nanti?