HUSNUL khatimah atau pengakhiran yang baik merupakan kematian paling diidamkan oleh umat Islam.
Menghembuskan nafas terakhir tatkala sedang beribadah contohnya ketika dalam solat adalah sesuatu yang amat indah di sisi ALLAH SWT.
Khamis 8 September lalu, tular satu kejadian yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di dewan solat Masjid Mukim Kenor, Kulai Krai, seorang jemaah meninggal dunia semasa menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Allahyarham Mohd Radzi Ibrahim, 63, Bekas Ketua Cawangan PAS Kampung Kenor secara tiba-tiba rebah dalam rakaat pertama solat maghrib di masjid itu pada jam 7.20 malam, Mohd Radzi tidak sempat rukuk lalu rebah dalam keadaan bersujud.
Menurut Imam Tua Masjid Mukim Kenor Ahmad Fadhil Zamani, beliau yang menjadi imam solat pada waktu itu terdengar bunyi kuat seperti objek jatuh.
Ahmad Fadhil berkata, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung.
Ujarnya, Allahyarham rajin menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid selain mengamalkan bacaan 40 kali surah al-Ikhlas setiap hari.
“Arwah seorang yang sangat pemurah dan sentiasa berebut membayar harga makanan dan minuman sahabat-sahabatnya semasa di kedai makan selain seorang yang sangat berpegang teguh pada janji.
“Kita tidak tahu amalan rahsia arwah hingga membawa kepada kematiannya secara husnul khatimah (mati dalam keadaan beribadat dan pada malam Jumaat),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Petanda mati dalam husnul khatimah
Kematian dalam keadaan baik seperti arwah itu disebut sebagai Husnul Khatimah atau terjemahannya, pengakhiran yang baik. Sesiapa sahaja pasti mendambakan untuk menghadap ALLAH ketika beribadah.
Justeru, apakah sebenarnya tanda-tanda kematian yang baik? Adakah hanya sekadar meninggal dunia ketika solat sahaja? Atau turut berkaitan dengan perkara-perkara lain yang bukan melibatkan ibadah?
Bagi merungkai persoalan ini, berikut merupakan tanda-tanda kematian husnul khatimah seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam artikel Al-Kafi #1359: Apakah Tanda-Tanda Kematian Yang Baik (Husnul Khatimah)?
Terdapat banyak hadis menyebutkan tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.
Terlebih dahulu, antara syarat paling penting bagi seseorang itu mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada ALLAH dan melafazkan syahadah sebelum dia meninggalkan dunia.
Ini kerana ALLAH tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepada-NYA. Firman ALLAH “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-NYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan Syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”. (Surah al-Nisa’ ayat 48)
Justeru, antara tanda-tanda husnul khatimah ialah sesiapa yang sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada Tuhan melainkan ALLAH’, nescaya dia akan memasuki syurga”. (Hadis riwayat Abu Daud)
Tanda-tanda lain mengikut masa, tempat dan keadaan
Selain itu, terdapat tanda-tanda lain bagi husnul khatimah terbahagi kepada dari sudut masa, tempat dan keadaan. Antaranya ialah:
1. Mati pada hari atau malam Jumaat.
2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.
4. Dia diberikan taufiq dan hidayah oleh ALLAH SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.
5. Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan ALLAH SWT.
6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.
7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.
8. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.
9. Meninggal dunia kerana mempertahanakan harta dan maruah dirinya.
10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.
Sebagai umat Islam kita digalakkan untuk sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT supaya dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Rasulullah SAW serta dalam kalangan orang yang soleh.
اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة
Maksudnya “Ya ALLAH, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah”.