Bukan semua takdir mampu diubah dengan doa
“DOA mampu ubah takdir kita. Berdoalah banyak-banyak.”
Demikian pernyataan yang sering kali diungkapkan insan di sekeliling. Bunyinya seperti mudah, takdir hidup boleh berubah hanya dengan doa.
Namun, jika difikirkan semula, tidak mungkin sesenang itu. Lebih-lebih lagi apabila setiap daripada kita sudah ditulis takdirnya oleh ALLAH SWT.
DIA telah menetapkan qada dan qadar hamba-hamba-NYA. Begitupun, itu bukanlah alasan untuk kita terus meminggirkan doa kerana ia merupakan manifestasi kebergantungan kita kepada Sang Pencipta.
Baca juga Sudah lama berdoa, tapi tidak dimakbulkan? Ketahui cara ALLAH terima doa kita
Apatah lagi, kita kini berada dalam bulan Ramadan yang begitu sinonim sebagai bulan maghfirah (pengampunan).
Malah, doa orang yang berpuasa tidak akan ditolak oleh ALLAH SWT.
Perkara itu ada disebut jelas dalam hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak; imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Maka rugi besarlah andai kita yang sedang berpuasa dalam bulan penuh berakah itu tidak berdoa.
Berbalik kepada tanda tanya sama ada berdoa boleh mengubah takdir, Pengarah Sekretariat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa menjelaskan, perkara itu perlu difahami dengan sebaiknya.
Memperincikan lanjut, andai apa yang dimaksudkan adalah takdir dari sudut ketetapan sunnatullah dalam bab asbab musabab, maka memang benarlah doa mampu mengubah takdir, ungkapnya.
“Bahkan, ia antara yang paling kuat merubah takdir. Ini kerana ia menggunakna talian hayat meminta secara terus kepada ALLAH SWT.
“(Konsepnya) sama seperti kita menolak takdir kebodohan diri dengan pergi belajar. (Begitu juga) kita menangkal takdir kelaparan dengan pergi makan.
“Inilah yang dimaksudkan oleh Saidina Umar RA dalam kes wabak taun iaitu ‘kita menolak takdir dengan takdir’,” ujarnya sebagaimana dipetik menerusi laman web MUIS.
Bagaimanapun, andai takdir yang dimaksudkan itu adalah yang tersimpan dalam ilmu ALLAH SWT terhadap nasib dan masa depan seseorang manusia, pendakwah itu menjelaskan, ia adalah sesuatu kemustahilan.
“Hal ini kerana mustahil ilmu ALLAH SWT akan berubah-ubah kerana ilmu-NYA azali, tidak dipengaruhi sesiapa dan tidak pula terikat dengan masa dan tempat.
“Tiada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan ALLAH SWT Yang MAHA MENGETAHUI. Hatta para rasul dan malaikat pun tidak memaklumi ilmu berkenaan,” terangnya panjang lebar.
Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH
Justeru, Ustaz Ahmad Syamil menasihatkan umat Islam agar membezakan maksud takdir dan ilmu ALLAH yang azali.
“Jika melibatkan takrifan pertama (sunnatullah dalam bab asbab musabab), kita boleh bicarakannya dan membahaskan sejauh mana kes doa kepada hidup kita.
“Andai kata ia mengenai maksud kedua, itu adalah perbahahasan yang dilarang sama sekali kerana ia adalah rahsia dan ilmu ALLAH SWT. Ketahuilah, berbicara mengenainya adalah sia-sia dan boleh merosakkan akal dan akidah,” terangnya.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.
***Foto: Canva