BAHAYA fahaman liberal. Apabila terlalu bebas bersuara tanpa dipandu wahyu, maka kamu akan dituntun oleh kebodohan sendiri.
Itulah ungkapan sesuai digambarkan kepada mereka yang terlalu inginkan kebebasan bersuara, namun tidak menggunakan akal fikiran yang dikurniakan ALLAH SWT, sebaliknya menjadikan hawa nafsu sebagai panduan.
Tular video di Twitter apabila ada kumpulan yang seolah-olah sengaja mempermainkan agama apabila membuka satu ruang di platform berkenaan untuk mengutuk seorang individu dikenali dan disegani ramai.
Lebih mendukacitakan apabila rata-rata yang berada dalam ruang tersebut terdiri daripada golongan muda yang lantang bersuara. Mereka bukan sahaja mengutuk figura berkenaan, tetapi turut membabitkan agama Islam sebagai bahan sendaan mereka.
Pempengaruh terkenal, Iddin Ramli tampil memberikan pandangannya apabila melihat ramai anak muda yang terlalu bebas bersuara menerusi platform media sosial Twitter sehingga menjadikan agama Islam sebagai bahan hinaan dan sindiran.
Iddin berpandangan, tidak sepatutnya sindiran sinis sebegitu melibatkan nama agama.
“Kalau kita hendak persendakan, hina atau keji parti sekalipun, silakan. Namun, bab-bab agama dan ibadah dalam Islam jangan dibuat main, apalagi dikeji.
“Ketahuilah, ramai manusia yang akan menyesal dengan apa yang diperkatakan di dunia suatu hari nanti. Disebabkan itulah, Nabi Muhammad SAW mengingatkan agar kita sentiasa menjaga lidah jika tidak mahu masuk ke dalam neraka,” katanya.
Baca juga Suami dayus benarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki? Fahami hukum sebenar
Seorang lagi pempengaruh yang dikenali sebagai ince_Lebah, turut meluahkan rasa kecewanya di akaun media sosial miliknya terhadap sikap yang ditonjolkan oleh segelintir orang Islam yang mencaci agamanya sendiri.
“Hina agama bukan hanya melibatkan isu biasa, namun ia melibatkan isu akidah. Apa yang perlu dilakukan mereka adalah istighfar dan melakukan solat sunat taubat untuk bersihkan hati.
“Mungkin dengan cara ini kita akan sedar, makin banyak lemparkan najis, makin kotor tangan kita dan makin busuk hati kita. Sekarang waktunya untuk kita bersihkan kotoran tersebut,” ungkapnya.
Pendustaan berleluasa tanda kiamat
Barangkali ramai yang kurang sedar bahawa antara tanda kiamat minor adalah pendustaan berleluasa sehingga orang tidak dapat mengenal pasti kebenaran.
Demikianlah fakta yang dikongsikan oleh Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Industri Halal, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin.
Daripada Jabir bin Samurah melaporkan beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda kiamat munculnya para pendusta, justeru berwaspadalah dengan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Melihat ungkapan berkenaan, jelaslah zaman yang paling Rasulullah SAW takuti sudah tiba yakni keadaan akhir zaman. Salah satu petanda-petanda yang diberitahu oleh baginda adalah perselisihan yang banyak.
Baca juga Belum hujung bulan poket dah kering, istiqamahkan lima perkara ini dan lihat keajaibannya
Daripada Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah RA, beliau berkata: “Telah menasihati kami Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, “Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.”
Lalu baginda SAW bersabda: “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada ALLAH dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Dr Mohd Hapiz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pulau Pinang menjelaskan, pelbagai fitnah yang menyebabkan ketidakstabilan terjadi di dalam negara, masyarakat dan agama berpunca daripada ‘para dajal’ yang mencipta pendustaan.
Daripada Abu Hurairah RA, beliau melaporkan Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak terjadi sehingga fitnah (kacau-bilau) bermaharajalela dan pendustaan merebak luas.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Benarlah akhir zaman itu penuh dengan pancaroba. Semua itu berpunca apabila manusia semakin jauh daripada agamanya.
Ingatlah apa jua yang berlaku, jangan sampai menggadaikan kesucian agama Islam. Berpegah teguhlah dengan dua warisan peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan as-Sunnah.