MUKMIN adalah seseorang yang apabila disebut nama ALLAH SWT gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran bertambah keimanannya. Bagi seorang mukmin, hidup adalah rangkaian ibadah yang sangat penting bagi menentukan kedudukan seseorang di akhirat sama ada di syurga atau neraka.
Umat Islam akan menempuh bahtera kehidupan mengikut cara dan acuan yang telah ditetapkan. Orang mukmin sentiasa berusaha untuk memenuhi kehidupannya dengan melakukan ibadah dan kebaikan dengan tujuan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat serta mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak.
Antara lima ciri mukmin yang berjaya menurut Islam ialah:
1.Menjaga solat
Islam menyuruh umatnya melakukan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak.
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”. (Surah Hud, ayat 114)
Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai ALLAH, lembut hatinya, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadilat lain.
Kita juga dituntut untuk menjaga hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah solat di awal waktu, menunaikan solat secara berjemaah, menyempurnakan rukuk dan sujud serta segala rukun-rukunnya. Mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya dan mendapat ganjaran daripada ALLAH.
Maka seiring dengan itu, terbukalah segala pintu keberkatan yang melimpah ruah dalam kehidupannya termasuk seisi rumahnya. Terdapat hadis qudsi riwayat Imam Ahmad dalam Isamuddin As-Sababati, Baginda bersabda:
“Barangsiapa menunaikan solat pada waktunya, kemudian dia memeliharanya, tidak melalaikannya kerana meremehkan haknya, maka dia mempunyai janji yang pasti AKU penuhi, iaitu AKU akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Oleh itu, insan yang memelihara solatnya pasti akan diselamatkan daripada bahang api neraka.
2. Menunaikan zakat
Zakat berasal daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud pembersihan. Zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta, kedua-duanya adalah ibadah yang wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu.
Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela ketika mana ALLAH memerintahkan untuk memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf). Tujuan ALLAH mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat dan berhak serta membersihkan harta, kerana di dalam harta kita terdapat hak orang lain.
Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati.
Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Ini berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah at-Taubah, ayat 103)
Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan walaupun mereka berbeza darjat.
Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya
3. Memelihara kemaluan
Memelihara kemaluan bukan hanya sekadar memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara yang mendekati zina. Menjaga kemaluan sering dikaitkan dengan menjaga pandangan kerana awal dari segala bentuk perbuatan zina adalah ketidakmampuan kita dalam menjaga pandangan.
Orang yang pandai menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, tip yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud:
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”. (Surah an-Nur, ayat 30)
Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Jadi jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.
Manusia perlu menjaga kemaluan mereka seperti menjaga mata daripada melihat perempuan yang haram dilihat, menjaga hati daripada membayangkan kecantikan rupa paras perempuan dan menjaga perut daripada makanan yang syubhah dan makan terlalu kenyang.
4. Amanah dan janji
Merupakan perkara yang wajib kita menepatinya, kerana Islam sangat menganjurkan umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Firman ALLAH di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. (Surah Al-Ahzab, ayat 72)
Ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya tanggungjawab amanah itu sememangnya amat berat, sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya. Walaupun langit, bumi dan gunung-ganang itu pada pandangan kasar bentuk fizikalnya memang besar berbanding dengan manusia.
Tetapi manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekalipun manusia itu serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, iaitu suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang amanah itu kerana telah berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh ALLAH dan Rasul-NYA.
5. Menjauhi diri dari perbuatan yang sia-sia
Perkara yang sia-sia merangkumi semua perkara yang membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah.
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya)”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).
Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati ALLAH dan memudahkan hawa nafsu dan syaitan menguasai diri. Ia juga boleh membawa kita ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada ALLAH.
Mereka yang dapat menjaga diri daripada terlibat dan terjerumus dengan perkara yang sia-sia adalah orang-orang mukmin yang berjaya.
Sekiranya umat Islam meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh agama yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya setiap orang akan menjadi seorang yang hebat dan produktif terhadap diri dan agamanya.
Foto: Pexels